KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menitikberatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya bermula daripada lahirnya bayi hingga pada hari kematian khususnya yang melibatkan warga emas.
ADUN Bunut Payong, Shaari Mamat berkata, kerajaan negeri sentiasa cakna pada rakyatnya bermula lahir menerusi Skim Cakna Aulad sehingga warga emas itu meninggal dunia melalui Skim Takaful Kifaalah Warga Emas.
Katanya, program kebajikan dilanjutkan dengan bantuan pakaian sekolah setiap tahun dan diteruskan pula dengan bantuan Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
“Apabila mereka berkahwin, sekali lagi sumbangan diberikan kepada pasangan berkenaan melalui Skim Gerbang Az-Ziwaaj untuk membantu pasangan berkenaan menyediakan keperluan majlis.
“Sekiranya rakyat Kelantan ingin berniaga, sumbangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta lain-lain bantu turut diberikan sehinggalah kepada mereka yang sakit kronik turut dibantu secara one-off,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Skim Cakna Aulad 2024 DUN Bunut Payong: Tabungan Manjaku’ di Dewan SMU (A) Sullamiah Bunut Payong, di sini kelmarin.
Seramai 20 penerima telah menerima sumbangan sebanyak RM100, dengan RM50 diberikan secara tunai, manakala RM50 lagi tabungan melalui Kelantan Golden Trade (KGT).
Menyentuh mengenai Skim Cakna Aulad itu, Shaari berkata, program berkenaan dianjurkan kerajaan negeri sebagai menyantuni ibu bapa yang mempunyai bayi.
Sementara itu, Nor Aina Shafira Yaakub, 29, melahirkan rasa syukur kerana turut menerima sumbangan berkenaan.
Katanya, biarpun sumbangan berkenaan tidak begitu besar, namun ia amat bererti serta memberi laluan padanya untuk terus menabung menerusi Tabungan Manjaku.
“Kita boleh terus menabung dalam tabungan ini selepas ini insya-Allah. Terima kasih banyak-banyak pada kerajaan negeri dan YB Shaari kerana memilih kami untuk menerima bantuan ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/11/2024