Jumlah hasil 2025 Kedah dianggar meningkat RM42j

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menganggarkan jumlah hasil pada tahun 2025 adalah RM790 juta dengan peningkatan RM42 juta berbanding anggaran tahun 2024.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor membutirkan demikian pada pembentangan Bajet Kedah 2025, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Menurutnya, Bajet 2025 dirangka dengan meneruskan kesinambungan agenda membangunkan negeri Kedah berpaksikan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan The Greater Kedah berlandaskan konsep ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’.

“Kerajaan Negeri juga menjangka akan berlaku peningkatan dalam kutipan hasil pada tahun 2025 berdasarkan prestasi semasa kutipan dan tindakan yang telah dirancang serta dilaksanakan di pelbagai peringkat.

“Termasuk melibatkan pemantauan kutipan hasil semasa, tunggakan hasil serta pemantauan terhadap ketirisan hasil oleh agensi utama kutipan hasil negeri,” kata beliau,

Jelas Sanusi, kategori kutipan melibatkan Hasil Tanah berjumlah RM518.04 juta, pelbagai hasil (RM219.71 juta), Hasil Hutan (RM35.73 juta) dan Hasil Daerah berjumlah RM16.52 juta.

Gerak kerja penyediaan bajet ujar beliau, telah dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor dan memastikan anggaran yang dibuat adalah realistik berdasarkan kedudukan semasa kewangan negeri Kedah.

Sementara itu tambah beliau, anggaran pembelanjaan mengurus untuk tahun 2025 berjumlah RM889.9 juta, melibatkan RM87.2 juta diperuntukkan sebagai Caruman Kumpulan Wang Pembangunan Negeri untuk menampung defisit Kumpulan Wang Pembangunan Negeri.

Dalam pada itu, di bawah peruntukan Perbelanjaan Mengurus, pecahan peruntukan bagi maksud Tanggungan dan Perbekalan jelasnya, melibatkan Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM82.84 juta.

Manakala Perbelanjaan Perbekalan bentangnya, sebanyak RM807.06 juta, menjadikan anggaran perbelanjaan meningkat sebanyak 4.3 peratus atau RM36.79 juta.

Mengulas lanjut, kata ADUN Jeneri itu, terdapat tiga anggaran peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan yang perlu diluluskan dengan jumlah keseluruhan RM461.25 juta.

Juga katanyam termasuk sebanyak RM209.8 juta dianggarkan untuk Perbelanjaan Pembangunan Negeri melibatkan 10 jabatan pelaksana.

“Anggaran Kumpulan Wang Hutan Negeri Tahun 2025 pula melibatkan Peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Hutan Negeri (KWPH) yang dianggar sebanyak RM4.56 juta.

“Dengan peruntukan perbelanjaan dijangka sebanyak RM4.03 juta. Dengan itu, lebihan daripada kumpulan wang ini adalah sebanyak RM527,000.

“Sementara anggaran Kumpulan Wang Bekalan Air Tahun 2025 dicadangkan berjumlah RM246.9 juta meliputi RM300 ribu daripada peruntukan Kerajaan Negeri dan RM246.6 juta daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan,” jelas beliau lagi.

Berikutan itu kata beliau, mengambil kira anggaran hasil, Perbelanjaan Mengurus, Peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Negeri dan Kumpulan Wang Bekalan Air, defisit tahun 2025 adalah dianggarkan pada 12.65 peratus atau RM99.9 juta.

Dalam pada itu kata Sanusi, Strategi Bajet Kedah 2025 yang bertemakan E.R.A.T Sejahtera iaitu meliputi, E – Ekonomi, R – Rakyat, A – Alam dan T – Tadbir Urus akan menyasarkan empat strategi melalui 15 fokus dan 50 inisiatif utama.

“Strategi 1 iaitu ekonomi akan menzahirkan pembangunan ke arah pertumbuhan sosial ekonomi yang holistik, manakala Stategi 2 iaitu rakyat, akan memberi fokus kepada menyantuni kesejahteraan rakyat dan memantapkan modal insan.

“Sementara Strategi 3 untuk kelestarian dan kemampanan alam sekitar. Strategi 4 pula akan memberi keutamaan kepada tadbir urus untuk peningkatan kecekapan tadbir Urus dan penyampaian perkhidmatan,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 24/11/224