ALOR SETAR: Kerajaan Negeri komited meneruskan pelbagai inisiatif melalui Bantuan Kedah Sejahtera yang telah dilaksanakan pentadbiran sejak 2020 lalu.
Menteri Besar, Dato’Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2025, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Antaranya kata beliau, Bantuan Beras Sejahtera melalui peruntukan sebanyak RM4.23 juta yang akan dimanfaatkan kepada 7,050 penerima setiap bulan atau 84,600 penerima setahun.
Turut dikekalkan menurutnya, pemberian bantuan secara ‘one-off’ sebanyak RM500 kepada pesakit terlantar dengan peruntukan RM1.5 juta yang mampu akan memberi manfaat kepada 3,000 pesakit.
“Kerajaan Negeri pada Belanjawan 2025 juga meneruskan Bantuan Tabung Sejahtera dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk membantu golongan kurang berkemampuan yang memerlukan alatan kesihatan.
“Dalam pada itu i-Kafalah iaitu Bantuan Khairat Kematian dengan peruntukan sebanyak RM4 juta melebihi RM500,000 berbanding peruntukan 2024 iaitu RM3.5 juta.
“Bantuan ini akan memberi fokus kepada waris si mati dari golongan B40 dengan sumbangan sebanyak RM500,” katanya yang juga ADUN Jeneri.
Juga ujaarnya, sebanyak RM500,000 disediakan untuk terus menjayakan Bantuan Permataku Sejahtera yang menyasarkan kelahiran cahaya mata kalangan golongan kurang berkemampuan dengan sumbangan sebanyak RM200.
Sumbangan RM200 itu katanya, akan dijadikan simpanan awal Tabung Pendidikan SSPN sebagai bantuan pendidikan dalam jangka panjang. – HARAKAHDAILY 24/11/2024