Anak muda solat berjemaah, Andalusia taja umrah percuma

Peserta Program Umrah Percuma Anak Kelantan di Masjid Imanul Fa'izin.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pengendali pakej ibadah haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours bakal menaja pakej umrah kepada 78 anak muda yang menunaikan solat berjemaah selama sebulan di Masjid Imanul Fa’izin, Kampung Padang Kala di sini.

Pengerusi Masjid Imanul Fa’izin, Lt Kol Bersekutu Pertahanan Awam, Nik Saiful Adli Burhan berkata, Program Umrah Percuma Anak Kelantan diadakan dengan kerjasama Andalusia Travels and Tours Sdn Bhd.

- Advertisement -

Menurutnya, program itu terbuka kepada seluruh anak Kelantan bertujuan menarik minat golongan muda untuk mengimarahkan masjid dan mendirikan solat secara berjemaah.

“Kita cuba bawa idea baharu untuk memperkenalkan anak muda dekat dengan masjid dengan memberikan pelbagai kemudahan dan tawaran.

“Bagi mendapat kelayakan, ahli kariah perlu menunaikan solat berjemaah tiga waktu sehari yang melibatkan waktu maghrib, isyak dan subuh di masjid ini dalam tempoh 30 hari berturut-turut.

“Siri pertama melibatkan 78 orang anak muda yang bakal mengerjakan umrah pada awal Januari 2025 nanti. Selepas berjaya, kita akan buka lagi permohonan untuk anak muda lain dan membuat tapisan sehingga mencapai jumlah keseluruhan seramai 200 orang,” katanya kepada HarakahDaily.

Sementara itu, peserta yang terpilih mengerjakan umrah pada Januari 2025, Nik Amir Khairi Kamarul Balkiah berkata, beliau sangat bersyukur dan berbesar hati kerana terpilih mengerjakan umrah.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak masjid dan Andalusia Travel & Tours kerana memberi peluang kepada saya untuk mengerjakan ibadah umrah nanti.

“Saya percaya dalam tempoh 30 hari ini, banyak manfaat diperolehi terutama istiqamah menunaikan solat berjemaah di masjid. Program 30 hari ini berjaya melatih diri kita untuk menghadapi suasana ketika menunaikan haji dan umrah.

“Program ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim bersama pihak masjid dan dan rakan-rakan baharu,” ujarnya.

Haifa Amelia Arafat Yassir pula sangat gembira dan bersyukur kerana terpilih mengerjakan umrah nanti.

“Saya berterima kasih kepada pihak yang menaja anak muda, kerana bukan senang untuk mendapatkan peluang seperti ini lagi,” katanya.

Nur Fatiha Mat Ali juga sangat terharu dengan pemilihan menunaikan ibadah umrah.

“Belum tentu kita mampu menjejakkan kaki ke sana dengan izin Allah SWT. Program ini sangat bagus kerana waktu yang dipilih itu, melibatkan maghrib, isyak dan subuh. kebanyakan kita pada waktu itu sudah pun berada di rumah,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/11/2024