73 tahun menerjang badai perjuangan di tanah watan ini

Mengimbau sejarah harakatul ummah

- Advertisement -

ULAMA dan agamawan Tanah Melayu yang berhimpun di Gunung Semanggol telah mengasaskan Hizbul Muslimin pada bulan Mac 1948, namun umur parti Islam itu sangat singkat dengan pengenalan Ordinan Darurat pada Jun 1948. Ruang politik yang tidak kondusif di zaman darurat dengan penangkapan massa secara rambang telah membentur kebangkitan rakyat. Segelintir ulama telah menyertai Biro Agama UMNO dan seterusnya telah menubuhkan Persatuan Islam se-Tanah Melayu pada 24hb November 1951.

Dasar perjuangan PAS ialah untuk membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British dan menegakkan sebuah pemerintahan Islam berlandaskan al-Quran dan Hadis. Maka untuk mencapai matlamat itu, PAS telah berkerjasama dengan parti-parti yang lain di Persekutuan Tanah Melayu untuk mendesak British hak pemerintahan sendiri dan merdeka. PAS telah menghantar tiga orang wakil iaitu Mohad Asri Hj. Muda, Tuan Haji Ahmad Tuan Hussien dan Ustaz Uthman Abdullah.

Dalam persidangan itu, PAS mempertahankan pendirian politiknya iaitu Persekutuan Tanah Melayu adalah milik bangsa Melayu. Oleh kerana itu, PAS membawa usul bahawa apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, kedudukan orang Melayu sebagai pemilik negeri ini yang asal dan sah tidak harus dilupakan. PAS telah meminta supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi negara secepat mungkin sebagai penganti bahasa Inggeris. PAS juga mendesak supaya agama Islam diletakkan di tempat yang penting di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka nanti. PAS juga tidak menyokong cadangan UMNO-MCA untuk menjadikan prinsip Jus Soli sebagai syarat kelayakan mengundi bagi orang-orang asing. Bagi PAS, orang-orang asing tidak mempunyai hak untuk mengundi kerana mereka bukan rakyat negara itu. PAS juga menolak cadangan perikatan UMNO-MCA yang mahukan suruhanjaya bebas dilantik untuk menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

- Advertisement -

Sungguhpun berbeza pendapat berhubung dengan corak kemerdekaan Tanah Melayu yang bakal merdeka, PAS tidak mengkhianati atau menghalang usaha-usaha parti perikatan parti tersebut sehubung dengan tuntutan kemerdekaan.

Musuh PAS beberapa dekad selepas merdeka telah memfitnah PAS sebagai parti penghalang kemerdekaan, sebuah parti yang tidak ingin kepada kemerdekaan dan dilahirkan oleh British. Sejarah pula menyaksikan ulamalah yang mengucur keringat dalam memperjuangkan kemerdekaan.

PAS memberikan sokongan sepenuhnya terhadap rombongan Tunku Abdul Rahman, Yang Dipertua UMNO, ke London pada bulan September 1953 untuk menyerahkan memorandum yang disusun oleh Jawatankuasa Persidangan Kebangsaan kepada kerajaan British bagi menuntut diadakan segera pilihan raya di peringkat Persekutuan. Hasil desakan bersepadu daripada parti-parti politik itu, British bersetuju untuk mengadakan Pilihan Raya Persekutuan pada tahun 1955.

Pada bulan Ogos dan Oktober 1953, PAS menyertai persidangan kebangsaan tajaan perikatan UMNO-MCA bagi membahaskan cadangan untuk mendesak kerajaan British mengadakan Pilihan Raya Persekutuan 1954, iaitu sebagai langkah awal ke arah pemerintahan sendiri. Maknanya, PAS melakukan apa sahaja bagi memastikan jalan kemerdekaan dapat diraih, pilihan raya yang pertama sangat penting bagi menyediakan rakyat Tanah Melayu untuk berkerajaan sendiri.

Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) kemudiannya didaftarkan dengan Pendaftar Persatuan sebagai Pan-Malayan Islamic Party (PMIP) atau PAS (dua minggu) sebelum 31 Mei 1955 iaitu hari penamaan calon pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu yang telah berlangsung pada 27 Julai 1955. Nama Persatuan Islam Se-Malaya kemudiannya ditukar dalam persidangan pada 25 – 27 Disember 1971, ia ditukar sekali lagi menjadi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan kekal hingga ke hari ini. 73 tahun umur di persada perjuangan, menerjangi badai dalam belantara politik tanah air dengan kerencaman pengalaman pahit dan manis.

Menang dua buah kerajaan negeri dalam Pilihanraya 1959, Terengganu dan Kelantan dengan lumayan isu berkaitan Islam dan Melayu, termasuk isu kewarganegaraan, corak negara diurus serta bervariasi isu kedaulatan tanah air. Dalam tempoh tujuh dekad ini, ramai pimpinannya mendekam dalam tahanan ISA, tidak kurang yang bertukar bahtera, pendokongnya diintimidasi , tekanan serta dinafikan hak. Keseriusan PAS dalam menggerakkan gelombang kesedaran Islam memang diakui kawan dan lawan. Fenomenal Tuan Guru Haji Hadi dalam dekad 1980an antara yang menyimbah kesedaran anak- anak muda untuk mengukuhkan kesedaran politik Islam. Sesepuh perjuangan PAS dengan kekuatan bakat, ilmu, kompetensi telah mewarnai sejarah negara ini, nama- nama yang menoreh tinta emas seperti Dr. Burhanuddin Al Helmi, Professor Zulkifli Mohamad, Dr. Abbas Alias, Dato’ Asri Muda, Ustaz Dato’ Fadhil Noor, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz serta ratusan nama-nama besar yang telah kembali ke negeri abadi.

Harakatul ummah ini menjàdi gerakan Islam panutan kepada pelbagai gerakan Islam lain di belahan dunia moden termasuk Asia Barat. Ia menjadi model keseimbangan perjuangan, tegak di atas tiga tiang sendi tarbiah, dakwah dan siasah. Kini, parti lebai ini mempunyai Ahli Parlimen dan ADUN teramai di negara ini. Mampu berbangga kerana memenangi hati anak-anak muda serta parti paling ramai mempunyai kelompok agamawan, teknokrat serta professional. Dirgahayu Parti Islam Se-Malaysia, 73 tahun yang menyimbah jasa kebaktian kepada ummah.

DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 24/11/2024