54 loji rawatan air beroperasi menjelang 2028

Dato’ Dr Izani Husin
- Advertisement -

KOTA BHARU: Isu bekalan air di Kelantan dijangka selesai sepenuhnya setelah 54 loji rawatan air (LRA) beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2028.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, ketika ini terdapat 43 LRA di seluruh negeri, belum mampu menampung keperluan pengguna.

Katanya, LRA Kelar 2 di Pasir Mas sekarang dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada 2028 dengan kapasiti 2.5 juta liter sehari, berbanding sekarang 1.35 juta liter sehari.

“Kerajaan negeri mengambil maklum isu bekalan air bagi menyelesaikan masalah itu,” katanya ketika menjawab soalan Kamaruzaman Mohamad (PAS-Gual Periok) pada sidang DUN Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau juga berkata, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengaktifkan telaga tiub sedia ada di tapak tangki lama Rantau Panjang yang mampu mengeluarkan 1.2 JLH bagi menampung keperluan pengguna di kawasan sekitarnya.

Menjawab soalan tambahan Dr Izani berkata, perkhidmatan lori tangki ditanggung kerajaan negeri bagi membekalkan air di kawasan yang bermasalah.

“Sekiranya berlanjutan, ia boleh merugikan operasi AKSB tetapi kita akan pantau keadaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri memohon peruntukan RM2 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina telaga tiub di kawasan pinggiran termasuk Rantau Panjang sebagai langkah jangka pendek menunggu LRA baharu siap dibina. – HARAKAHDAILY 24/11/2024