“SAYA sendiripun tidak pernah bayar apapun kadar faedah dalam menggunakan kad kredit. Kerana buat apa saya nak letakkan diri saya dalam situasi yang perlu kena bayar balik hutang apabila kadar faedahnya amat tinggi?”
Itulah pengakuan daripada seorang pengguna kad kredit bernama Sebastian Fung dalam satu video Youtube bertajuk ‘Credit Cards The Business of Enslaving Poor People’.
Pembayaran dengan menggunakan kad kredit sudah mula menjadi satu trend yang semakin mendapat perhatian sejak zaman 1980-an lagi.
Ini kerana syarikat-syarikat kad kredit memberikan pelbagai hadiah yang lumayan secara percuma kepada penggunanya seperti penerbangan, insurans, penginapan hotel mewah dan seumpamanya.
Walau bagaimanapun, perkara sebegitu juga menyumbang kepada masalah bankrap yang semakin bertambah terhadap ramai pengguna kad kredit itu sendiri dan menghukum mana-mana penggunanya yang sentiasa bayar tepat pada masanya.
Ini yang menimbulkan satu persoalan yang penting iaitu adakah syarikat-syarikat kad kredit mempunyai persamaan dengan industri judi dalam membuat keuntungan?
Bagi menjawab persoalan tersebut, satu dokumentari bertajuk ‘The Secret History Of The Credit’ ada menerangkan mengenai perkara tersebut.
Bagaimana syarikat kad kredit membuat wang?
Setiap individu perlu mengetahui bahawa syarikat-syarikat kad kredit seperti Mastercard, Visa dan American Express (AMEX) merupakan antara golongan maha kaya satu peratus yang memegang ekonomi dunia pada hari ini.
Keuntungan yang amat besar juga membolehkan syarikat-syarikat tersebut melobi golongan politik yang bukan sahaja di Amerika Syarikat tetapi juga di negara-negara lain.
Menurut dokumentari tersebut, syarikat-syarikat kad kredit membuat keuntungan melalui kadar tambahan yang dikenakan terhadap mana-mana penggunanya yang membayar lambat.
“Ini kerana pengguna kad kredit yang membayar lambat akan dikenakan denda berbentuk caj tambahan setiap kali lambat membayar balik pinjamannya,” katanya.
Dokumentari tersebut ada menunjukkan bahawa syarikat-syarikat kad kredit mempunyai gelaran yang khas kepada golongan sebegitu iaitu ‘revolver’.
Pelanggan sebegini yang menjadi lebih digemari oleh syarikat-syarikat kad kredit memandangkan mereka boleh dikenakan caj tambahan lebih daripada 30 peratus.
“Cuba bayangkan lebih ramai orang tidak mampu membayar hutangnya maka berapa banyak wang yang mereka dapat peroleh?
“Akan tetapi, mereka tidak boleh membuat perkara sedemikian terhadap pelanggannya yang sentiasa bayar tepat pada masanya,” ujarnya.
Seorang lagi pengguna kad kredit terkenal bernama Ben Stein berkongsi mengenai perkara tersebut memandangkan beliau merupakan pelanggan sebegitu.
Beliau menyatakan bahawa syarikat-syarikat kad kredit tidak membuat wang yang banyak daripadanya memandangkan mereka tidak mampu mengenakan sebarang caj tambahan.
“Setiap kali saya menggunakan kad kredit mesti membayar balik pinjaman tersebut amat tepat pada masanya walau apapun,” katanya.
Menurut beliau, rakannya yang bekerja di syarikat kad kredit juga memberitahu bahawa syarikat-syarikat kad kredit tidak suka kepada pelanggan sebegitu dan diberi gelaran ‘credit card deadbeat’.
Elemen sebegini adalah sama dengan syarikat judi iaitu pemain yang banyak kali menang dalam apa jua keadaan (digelar sharks) akan disekat daripada terus bermain.
Merchant fees
Dokumentari ‘Money Explained The Credit Card’ menerangkan bahawa terdapat satu lagi cara syarikat-syarikat kad kredit membuat keuntungan melalui penggunaannya itu sendiri.
Senarionya ialah apabila seseorang menggunakan kad kreditnya di sesebuah kedai, maka pemilik kedai tersebut akan dikenakan caj yang dikenali sebagai ‘merchant fees’.
Ini kerana pemilik kedai tersebut telah menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat kad kredit dalam menerima sebarang pembayaran elektronik daripada para pelanggannya.
“Jadi, apabila seseorang menggunakan kredit kadnya, maka pemilik kedai perlu membayar caj tersebut kepada syarikat-syarikat kad kredit.
“Perkara sebegini juga menyumbang kepada kenaikan harga barang oleh pemilik kedai tersebut selain daripada inflasi memandangkan ‘merchant fees’ ini sangat membebankan,” jelasnya.
Perkara sebegini juga memaksa sesetengah pemilik kedai hanya mahu memilih pembayaran secara tunai atau kad debit sahaja kerana tidak mahu terbeban dengan caj tersebut.
Dengan lain kata, syarikat-syarikat kad kredit membuat keuntungan bukan sahaja melalui mana-mana pengguna jenis membayar lambat, tetapi juga melalui caj daripada para pemilik kedai yang menggunakan perkhidmatannya.
Begitu juga dengan syarikat-syarikat judi iaitu sama ada para pemainnya menang atau sebaliknya, tetapi pemilik kedai judi tersebut tetap mengambil keuntungan daripada kedua-dua pihak yang bahasa Inggerisnya berbunyi ‘house always wins’.
Justeru, syarikat-syarikat kad kredit mempunyai modus operandi yang amat sama dengan industri judi kerana kedua-dua syarikat ini mengambil untung daripada pelanggannya yang rugi, tetapi pada masa sama menghukum pelanggan seperti Ben Stein.
Setiap individu wajib menjauhkan diri daripada apa jua industri kewangan berbentuk hutang dan perjudian kerana jika tidak berjaga-jaga, maka ianya boleh mendatangkan penderitaan yang amat besar. – HARAKAHDAILY 23/11/2024