KUALA TERENGGANU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menyifatkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai langkah yang tepat untuk menghukum penjenayah genosid.
“Pembunuhan satu nyawa pun adalah jenayah, apatah lagi pembunuhan 44,000 orang Islam. Ini adalah jenayah besar yang patut dihukum gantung,” tegas beliau.
Beliau ketika ditemui pemberita selepas perasmian program Terengganu International Summit 2024 (TIS2024) yang berlangsung di Duyong Marina & Resort, di sini, hari ini.
Walau bagaimanapun, beliau menjangkakan Amerika Syarikat akan menjadi penghalang utama kepada usaha itu kerana dasar mereka yang menyokong Israel.
“Amerika ini dikuasai oleh orang Yahudi di sana. Dasar mereka ialah menolong Israel. walaupun mereka tahu apa yang dilakukan oleh Israel itu adalah satu jenayah besar seperti genosid, tetapi Amerika masih lagi menyokong Israel dengan mengenakan veto terhadap segala usaha untuk menghentikan peperangan,” katanya.
Mahathir turut menyeru agar umat Islam di seluruh dunia bersatu demi memperjuangkan keadilan bagi rakyat Palestin.
“Kalau orang Islam bersatu kita boleh tangkap, kita ramai mereka (Israel) cuma 47 juta orang sahaja. Kita ada 1,400 milion manusia orang Islam. Kalau kita bersatu kita kuat,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa jika Israel mendakwa berhak mempertahankan diri, umat Islam di Gaza dan Lebanon juga mempunyai hak yang sama untuk mempertahankan keselamatan mereka.
Mengulas mengenai persediaan Malaysia menjadi tuan rumah ASEAN tahun depan, beliau mencadangkan usaha yang lebih agresif untuk membawa isu Palestin ke perhatian antarabangsa.
“Kita perlu menggerakkan langkah supaya susunan penerimaan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diubah, termasuk menghapuskan kuasa veto yang sering disalahgunakan untuk melindungi Israel,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar lebih banyak negara menyokong cadangan untuk mengeluarkan Israel daripada keanggotaan PBB sebagai langkah awal.
“Perjuangan ini memerlukan sokongan berterusan. Apa juga yang bermula kecil, jika disertai lebih banyak negara, boleh menjadi gerakan besar,” katanya.
Mengulas mengenai konteks perpaduan dalam negara, Mahathir menyeru rakyat Malaysia untuk bersatu demi tujuan yang mulia, bukan untuk kepentingan politik semata-mata.
“Dulu kita hanya ada satu parti politik untuk semua orang Melayu, kini telah berpecah kepada lima, menyebabkan kita semakin lemah,” katanya.
Beliau juga percaya, perpaduan di peringkat nasional dan antarabangsa adalah kunci untuk memperjuangkan keadilan, khususnya untuk rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 23/11/2024