KAHERAH/GAZA: Penduduk Gaza melihat sedikit harapan bahawa waran tangkap oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap pemimpin Israel akan memperlahankan serangan ke atas wilayah Palestin yang petugas perubatan menyatakan bahawa sekurang-kurang 24 orang terkorban dalam serangan terbaru tentera Israel.
Di Bandar Gaza di utara, serangan Israel ke atas sebuah rumah di Shejaia membunuh lapan orang, kata petugas perubatan. Tiga lagi terbunuh dalam serangan berhampiran sebuah kedai roti dan seorang nelayan mati ketika hendak belayar. Di kawasan tengah dan selatan, 12 orang terbunuh dalam tiga serangan udara Israel yang berasingan.
Sementara itu, tentera Israel semakin mara jauh ke Gaza dan melakukan pengeboman di sempadan utara wilayah itu. Tentera mendakwa tindakan itu untuk menghalang pejuang Hamas melakukan serangan dan berkumpul di situ.
Namun, penduduk Gaza bimbang bahawa tujuan sebenar adalah untuk mengosongkan secara kekal sebahagian wilayah tersebut sebagai zon penampan.
Penduduk di tiga bandar yang dikepung di sempadan utara – Jabalia, Beit Lahiya dan Beit Hanoun – memberitahu bahawa tentera Israel meletupkan puluhan rumah.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Gaza, dalam satu serangan Israel yang mengenai Hospital Kamal Adwan di Beit Lahiya, satu daripada tiga kemudahan perubatan yang hampir tidak beroperasi di kawasan itu menyebabkan enam kakitangan perubatan cedera dan ada yang parah.
Selain itu kementerian itu menyatakan bahawa: “serangan itu turut merosakkan penjana utama hospital dan menembusi tangki air, menyebabkan hospital kehabisan oksigen dan air, yang mengancam nyawa pesakit dan kakitangan.” Ia juga menyebut 85 orang yang cedera termasuk kanak-kanak dan wanita berada di dalam hospital, lapan daripada mereka di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Semalam, Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan bahawa semua perkhidmatan hospital di seluruh wilayah itu akan dihentikan dalam tempoh 48 jam melainkan penghantaran bahan api dibenarkan, manakala Israel mendakwa sekatan itu bertujuan menghalang bahan api digunakan oleh Hamas.
Rakyat Gaza melihat keputusan ICC untuk menangkap pemimpin Israel atas tuduhan jenayah perang sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap penderitaan wilayah itu. Namun, mereka yang beratur untuk mendapatkan roti di sebuah kedai roti di Khan Younis meragui ia akan memberi kesan.
“Keputusan ini tidak akan dilaksanakan kerana Amerika Syarikat melindungi Israel, dan mereka boleh veto apa sahaja. Israel tidak akan bertanggungjawab,” kata Saber Abu Ghali.
Saeed Abu Youssef, 75, berkata walaupun keadilan akan tiba, ia datang terlalu lewat: “Kami telah mendengar keputusan selama lebih 76 tahun yang tidak pernah dilaksanakan dan tidak memberi apa-apa kepada kami.”
ICC mendapati terdapat asas yang munasabah untuk mempercayai bahawa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant bertanggungjawab secara jenayah terhadap tindakan termasuk pembunuhan, penganiayaan dan kelaparan sebagai strategi peperangan meluas dan sistematik terhadap penduduk Gaza.”
Mahkamah yang berpangkalan di The Hague juga mengarahkan penangkapan komander kanan Hamas, Ibrahim Al-Masri, yang juga dikenali sebagai Mohammed Deif. Israel mendakwa telah membunuhnya, tetapi Hamas belum mengesahkan perkara itu.
Israel mengutuk waran tangkap ICC sebagai berat sebelah dan berdasarkan bukti palsu, selain mendakwa mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa terhadap perang itu. Hamas pula memuji waran tangkap itu sebagai langkah pertama menuju keadilan.
Usaha perunding Arab, Qatar dan Mesir yang disokong oleh Amerika Syarikat untuk mencapai perjanjian gencatan senjata telah terhenti. Hamas mahu perjanjian yang mengakhiri perang, manakala Netanyahu dengan angkuh berkata perang hanya akan berakhir setelah Hamas dimusnahkan. – REUTERS