TIS 2024: Platform strategik selesaikan cabaran ummah

Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu International Summit 2024 (TIS 2024) disifatkan sebagai platform perbincangan awal yang mampu mencetuskan idea-idea baharu dalam menyelesaikan cabaran ummah.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berharap inisiatif itu dapat diangkat sebagai agenda strategik negara yang memberi manfaat kepada umat Islam pada masa hadapan. 

“Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada kita untuk memikul tugas dan amanah yang berat ini,” katanya semasa merasmikan Terengganu International Summit 2024 yang berlangsung di Duyong Marina & Resort, di sini, hari ini. 

Turut hadir dua negarawan terkemuka, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. 

Ahmad Samsuri berkata, cabaran yang dihadapi umat Islam hari ini meliputi pelbagai isu, termasuk kekejaman di Palestin yang dianggap sebagai penghapusan etnik oleh pihak barat, peningkatan Islamofobia, kecelaruan pemikiran serta konflik dalaman politik dan sosial dalam kalangan negara Islam. 

Beliau juga mengingatkan bahawa usaha menyelesaikan masalah ummah tidak akan berhasil jika hanya bernostalgia dengan kegemilangan sejarah tanpa tindakan.

“Usaha ini boleh dimulai oleh satu atau dua negara umat Islam dahulu, di mana kita yang mungkin menjadi opinion leader and policy makers kepada negara masing-masing, sehingga agenda besar ini mampu diangkat sebagai salah satu national strategic agenda.

“Lihatlah bagaimana usaha yang pada mulanya dilaksanakan oleh negara luar, yang pada mulanya kita rasakan sebagai usaha pihak bukan kerajaan, tetapi sebenarnya adalah agenda kerajaan mereka yang diangkat sebagai national agenda oleh negara berkenaan, sehingga ianya berjaya di arena antarabangsa.

“Contoh yang paling mudah dilihat,itulah yang terjadi di industri perfileman Hollywood, yang berjaya menjadi agen propaganda Amerika yang masuk ke dalam tiap buah rumah, bagaimana timbul dan menularnya elemen K-Pop Korea ke serata dunia, yang juga diangkat sebagai national agenda atas sebab strategik di mana pada akhir tahun 1990-an.

“Pada awal tahun 2000, kerajaan Korea mengenal pasti bahawa pengeksportan secara halus budaya termasuk K-Pop adalah kunci terhadap menaikkan imej negara mereka di peringkat global, sehingga program ini dibiayai oleh kerajaan,” katanya.

Menurutnya, kepimpinan negara ini wajar memulakan langkah seterusnya, untuk menggerakkan kempen dan lobi yang lebih spesifik, untuk mencapai matlamat ummah, dengan di mulai di kalangan negara umat Islam yang mempunyai kefahaman yang hampir sama terlebih dahulu.

“Ya, benar bahawa pada hari ini kita tidak ada kuasa seperti mereka yang bernegara dan kita tidak ada dana yang besar sebagaimana kumpulan pelobi Barat.

“Tetapi kita mempunyai kesedaran, kefahaman, semangat dan daya juang untuk terus berusaha, membawa perkara ini sebagai sumber penyatuan ummah.

“Segala unsur-unsur yang membawa kepada pertembungan dan persengketaan sesama umat Islam, wajar dikendurkan dan dineutralkan terutamanya pertembungan yang merugikan diri kita sendiri,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kemaman. – HARAKAHDAILY 24/11/2024