KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu segera mengumumkan ‘exit strategy’ bagi U-Mobile daripada Digital Nasional Berhad (DNB) dan bukannya membuat pengumuman tidak lengkap.
Ahli Majlis Tertinggi BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sehingga hari ini beliau tidak berpuas hati dengan kelemahan kerajaan menguruskan impak susulan daripada pemberian spektrum 5G kepada U-Mobile.
Beliau memaklumkan menghadiri taklimat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Komunikasi di Parlimen mengenai pemberian spektrum 5G.
“Butiran taklimat akan diterbitkan secara rasmi oleh Dewan Rakyat nanti,” katanya dalam satu kenyataan di akaun media sosial Facebook semalam.
Menurut beliau, kerajaan masih tidak mengarahkan wakil U-Mobile dalam Lembaga Pengarah DNB untuk melepaskan jawatan dan keluar daripada syarikat tersebut.
Tambah beliau, pengumuman kerajaan dalam memberikan spektrum 5G kepada U-Mobile menjadikan syarikat telekomunikasi tersebut sebagai pesaing DNB.
“Kenapa sehingga hari ini kerajaan tidak mengarahkan wakil U-Mobile dalam Lembaga Pengarah DNB untuk melepaskan jawatan dan keluar dari pentadbiran DNB itu sendiri?
“Apabila U-Mobile ada wakil dalam Lembaga Pengarah DNB, adakah itu bermaksud kerajaan sengaja memberikan kelebihan yang tidak adil kepada U-Mobile?
“Ini kerana wakil itu pasti ada akses kepada pelbagai maklumat sensitif mengenai operasi dan strategi DNB,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor.
Wan Saiful menegaskan bahawa DNB merupakan syarikat GLC yang dimiliki rakyat negara ini, sedangkan U-Mobile pula merupakan syarikat milik golongan terlebih kaya yang majoritinya dari negara Singapura.
“Maka sekali lagi saya menuntut kerajaan segera mengumumkan ‘exit strategy’ bagi syarikat U-Mobile daripada syarikat DNB,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/11/2024