PAS sokong ICC keluar waran tangkap Netanyahu

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menyokong penuh keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant. 

- Advertisement -

Beliau menyifatkan keputusan tersebut sebagai langkah penting dalam memperjuangkan keadilan bagi rakyat Palestin yang telah lama tertindas di bawah kekejaman rejim Zionis. 

“Keputusan ini menunjukkan masyarakat antarabangsa, termasuk negara-negara Eropah, semakin sedar akan kezaliman Israel. Namun, pengaruh Zionis di Amerika Syarikat sering menjadi penghalang utama melalui penggunaan kuasa veto,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Tuan Guru berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian program Terengganu International Summit 2024 (TIS 2024) yang berlangsung di Duyong Marina & Resort, di sini, hari ini. 

Beliau turut mengkritik sistem politik di Amerika Syarikat yang bergantung kepada sokongan kuat terhadap Zionis untuk memenangi pilihan raya, khususnya jawatan Presiden. 

Mengulas kenyataan seorang pemimpin Malaysia yang menyatakan bahawa Israel mempunyai hak ke atas Palestin, Tuan Guru yang juga bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia menegaskan bahawa pandangan tersebut bertentangan dengan prinsip keadilan. 

“Apa hak dia? Palestin itu, seperti yang saya sebut dalam ucapan tadi, bukan milik mereka. Nabi Ibrahim pernah berkata bahawa orang zalim tidak layak menerima wasiat Ibrahim. Hanya orang yang adil sahaja yang boleh memegang amanah,” jelasnya. 

Pada Khamis lalu, ICC mengumumkan bahawa waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Netanyahu dan Gallant atas tuduhan jenayah perang yang didakwa dilakukan mereka di wilayah Palestin, termasuk Gaza.

Waran tangkap itu dikeluarkan ketika serangan genosid Israel ke atas Gaza baru-baru ini memasuki tahun kedua, dengan jumlah kematian rakyat Palestin menjangkau kira-kira 44,000 prang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 103,000 yang lain. – HARAKAHDAILY 23/11/2024