KOTA BHARU: Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dan Mafiq Global Sdn Bhd telah mementerai perjanjian persefahaman (MoU) untuk penyediaan peralatan bagi mencapai sifar bahan buangan ke tapak pelupusan sampah.
Memorandum Persefahaman itu telah dimeterai dalam satu majlis rasmi di sebuah hotel di sini kelmarin yang disaksikan Pengurus Besar Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM), Dr Mohd Roshdi Hassan.
MDGM diwakili oleh Yang Dipertuanya, Nik Raisnan Nik Daud, manakala Mafiq Global diwakili Pengarah Urusannya, Muhammad Afiq Alias pada majlis yang diadakan itu.
Kerjasama tersebut melibatkan pelaksanaan teknologi pemprosesan sisa domestik kepada bahan api terbitan (Refuse Derived Fuel – RDF) yang bakal dilaksanakan di Gua Musang.
Menurut Dr Mohd Roshdi, projek berkenaan dijangka mampu menghasilkan 50 tan RDF sehari.
Katanya, ia dijangka membantu mengurangkan sisa buangan ke tapak pelupusan di samping membuka peluang pekerjaan baharu untuk penduduk tempatan.
“Projek ini juga adalah langkah penting untuk menyokong sektor tenaga boleh diperbaharui serta mendokong inisiatif pembangunan lestari yang seiring dengan aspirasi negara,” katanya.
Tambahnya, teknologi bakal digunakan telah terbukti keberkesanannya di negara maju seperti Eropah, selain di negara jiran, Indonesia, yang berjaya menghasilkan lebih 60 tan RDF sehari.
Beliau berharap, kerjasama itu juga mencerminkan komitmen Kelantan untuk menerajui transformasi hijau dengan memanfaatkan teknologi moden bagi melestarikan alam sekitar dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. – HARAKAHDAILY 23/11/2024