Mohon Allah agar Kelantan tidak alami banjir besar

- Advertisement -

PASIR MAS: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud menyeru rakyat di negeri ini sentiasa berdoa pada Allah bagi memohon pertolongan supaya tidak berlaku banjir tahun ini.

- Advertisement -

Katanya, pada masa yang sama lakukan juga solat sunat hajat untuk memohon pertolongan pada-Nya agar Kelantan dijauhi dari banjir besar.

“Kalau berlaku juga banjir, di negeri kita, mintalah dari Allah supaya banjir yang berlaku ini tidak besar,” katanya ketika ditemui selepas majlis Memperkasakan Ilmu: Program Kembali Ke Sekolah dan Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2024.

Majlis berkenaan diadakan di Pusat Tarbiah Kampung Pohon Buluh, dekat sini petang semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim dan Datin Panglima Perang, Wan Nor Hanita Wan Yaacob.

Hadir sama, Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur Ahmad Shazly Ramli serta pegawai pasukan keselamatan dan Pasukan Bomba dan Penyelamat.

Nassuruddin yang juga ADUN Meranti turut mengingatkan ibu bapa supaya menjaga keselamatan anak-anak sebaik mungkin.

“Kita berharap supaya tiada yang menjadi korban banjir tahun ini dan kita berdoa semoga semuanya selamat.

“Apa yang penting, masyarakat yang tinggal di kawasan rendah dan mudah ditenggelami air, diminta bersiap sedia untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang disediakan kerajaan,” katanya.

Tambahnya, segala kelengkapan dan keperluan untuk mangsa-mangsa banjir telah disediakan oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.

“Hari ini juga kita telah menerima bantuan awal dari PETRONAS untuk diagihkan kepada penerima yang sentiasa menjadi mangsa banjir setiap tahun,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, Kerajaan Negeri Kelantan menambah jumlah aset daripada 17,147 kepada 19,619 buah aset sebagai persediaan untuk menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula November ini.

Penambahan aset-aset itu terdiri daripada kenderaan, jentera, bot, khemah kubik, genset dan peralatan-peralatan lain.

Selain itu sebanyak 459 pusat pemindahan sementara PPS telah dikenal pasti untuk menampung lebih daripada 186,440 orang mangsa berbanding 214 PPS dibuka pada tahun lalu. – HARAKAHDAILY 23/11/2024