Elak persepsi pemimpin dipengaruhi agenda pihak swasta

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Penyalahgunaan tajaan swasta dalam lawatan rasmi pemimpin negara harus ditolak kerana ia menjejaskan integriti kerajaan dan memberi ruang kepada konflik kepentingan yang merugikan pentadbiran negara.

Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni menegaskan, sebarang perjalanan rasmi Perdana Menteri atau pegawai tertinggi kerajaan perlu dibiayai sepenuhnya menggunakan dana kerajaan yang diuruskan secara telus dan berhemat.

“Ketelusan dalam perbelanjaan kerajaan adalah elemen penting dalam memupuk keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menambah bahawa tindakan itu penting bagi mengelakkan persepsi bahawa pemimpin negara dipengaruhi oleh syarikat swasta yang mempunyai agenda tertentu.

Abu Irfan mendesak agar satu garis panduan yang jelas dikeluarkan mengenai pembiayaan lawatan rasmi oleh pegawai kerajaan untuk memastikan tiada tajaan daripada mana-mana pihak swasta diterima.

“Jika ada, mohon pihak berkuasa yang berkaitan perlu menjalankan siasatan sekiranya terdapat bukti penyalahgunaan tajaan swasta dalam perjalanan rasmi Perdana Menteri ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Abu Irfan juga mengingatkan bahawa pemimpin negara perlu menunjukkan contoh terbaik dalam mengutamakan kepentingan rakyat, bukan kepentingan peribadi atau golongan tertentu.

“Pihak kerajaan perlu memastikan tadbir urus negara terus diperkukuh dengan prinsip integriti, akauntabiliti, dan ketelusan sebagai teras utama mentadbir urus negara ini.

“Kita tidak mahu ada yang menjadi boneka dalam permainan politik dan sanggup menggadai prinsip bagi kepentingan diri sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/11/2024

- Advertisement -