KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib, menyifatkan pertemuannya dengan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sebagai satu momen bermakna yang memberikan inspirasi mendalam terhadap perjuangan Islam.
Beliau berkata, setiap pertemuan dengan Tuan Guru memberikan pedoman yang sangat bernilai.
“Setiap kali hadir menadah ilmu dengan Ayah Chik, pasti akan terasa dapat satu pedoman dan peringatan yang sangat bernilai untuk dijadikan pegangan,” katanya dalam media sosial miliknya.
Menurutnya, pertemuan itu bukan sahaja mengukuhkan semangatnya untuk istiqamah dalam membawa agenda kebenaran, tetapi turut menyuntik kekuatan untuk terus melangkah dalam menegakkan syariat Islam.
Beliau turut berkongsi pandangan terhadap keperibadian Abdul Hadi yang digambarkannya sebagai seorang pemimpin sederhana, tetapi penuh hikmah dan kebijaksanaan.
“Tuan Guru berbicara dengan penuh hikmah, menunjukkan ketajaman fikiran dan kebijaksanaan yang hanya lahir daripada hati yang penuh dengan ilmu dan pengalaman,” katanya yang berkunjung ke rumah Tuan Guru di Rusila.
Muhammad Ismi menambah, sifat rendah hati yang terpancar melalui kepimpinan Abdul Hadi menjadi peringatan agar sentiasa bersikap sederhana dan ikhlas dalam setiap tindakan.
Menurutnya, kata-kata Tuan Guru adalah peringatan yang tulus, menegaskan bahawa perjuangan Islam itu memerlukan kesabaran, pengorbanan, dan tawakal kepada Allah.
“Momen ini adalah detik yang akan saya kenang selama-lamanya. Ia memberi saya kekuatan untuk terus melangkah dalam menegakkan syariat Islam dan membawa manfaat kepada ummah.
“Saya berdoa agar Allah sentiasa memberkati Tuan Guru dengan kesihatan yang baik dan umur yang panjang, supaya beliau terus menjadi cahaya petunjuk bagi kita semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/11/2024