Realisasi ‘PAS Teraju Pahang’ perlu sokongan padu ahli

- Advertisement -

ROMPIN: PAS Kawasan Rompin terus memperkukuhkan semangat perjuangan ahli parti dengan penganjuran Program Ijtimak Tarbawi yang berlangsung di Markas PAS Felda Keratong 3, semalam.

- Advertisement -

Program itu bukan sahaja bertujuan untuk memberi kefahaman lebih mendalam kepada ahli, tetapi juga untuk memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan jentera parti yang semakin berkembang.

Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Nazri Ahmad menegaskan setiap ahli mesti menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan PAS terus berjaya, terutamanya dalam menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurutnya, untuk merealisasikan impian menjadikan PAS sebagai teraju utama di Pahang, sokongan padu dari setiap peringkat ahli sangat diperlukan.

“Kita sangat mengharapkan komitmen yang tinggi daripada semua ahli. Kita bukan sahaja bekerja untuk menangkan parti dalam PRU yang akan datang, tetapi juga untuk memastikan PAS dapat memberikan manfaat kepada masyarakat di peringkat akar umbi,” ujarnya dengan penuh keyakinan.

Beliau turut mengumumkan, PAS Kawasan Rompin kini dalam proses memperbesarkan beberapa markas parti bagi melaksanakan program-program lebih besar..

Ini, ujarnya dengan harapan agar setiap ahli memberi sumbangan, baik dari segi tenaga mahupun kewangan, untuk menjayakan matlamat tersebut.

“Markas-markas kita sedang diperkukuhkan. Ini langkah penting bagi memastikan kita dapat menjalankan program-program besar yang akan melibatkan seluruh masyarakat.

“Sumbangan dari setiap ahli amat diperlukan untuk kita mencapai kejayaan ini,” katanya lagi.

Dalam majlis tersebut, turut berlangsung penyerahan borang keahlian oleh bekas guru besar Cikgu Saimon Siraj, yang kini menyertai PAS.

Penyerahan tersebut melambangkan keyakinan dan sokongan generasi baru terhadap perjuangan PAS di Pahang.

Justeru, Ustaz Nazri menggesa semua cawangan untuk memperhebatkan kempen keahlian parti, menjadikan setiap lapisan masyarakat sebagai ahli PAS yang aktif.

“Saya ingin menyeru agar setiap cawangan di seluruh kawasan Rompin giat dalam usaha meningkatkan keahlian parti. Ini adalah kita menuju kejayaan besar pada PRU-16 nanti.

“Kita semua adalah jentera yang sama-sama berusaha untuk memastikan PAS terus menjadi pilihan utama rakyat,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Bukit Ibam turut menegaskan bahawa PAS bukan hanya parti yang berjuang untuk politik, tetapi juga komited untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat melalui program-program yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

 “Alhamdulillah, pelbagai program yang telah kita jalankan membuktikan bahawa PAS mampu mentadbir dengan baik dan menyantuni masyarakat di setiap peringkat,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 22/11/2024

.

- Advertisement -