Promosi masjid sebagai wadah penyatuan umat Islam

- Advertisement -

HULU TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan jawatankuasa masjid bersama-sama membantu pihak berkuasa agama memantau dan menyalurkan maklumat jika terdapat aktiviti yang mencurigakan sama ada di masjid atau dalam kawasan kariah.

- Advertisement -

Baginda bertitah, salah satu cabaran dalam pembangunan insan dan umat sejahtera ialah wujudnya pengaruh ajaran salah dan menyeleweng yang cuba memesongkan akidah.

“Penyebaran ajaran sesat dapat dikekang jika setiap individu Muslim berwaspada dan meningkatkan pengetahuan agama menerusi cara yang betul serta mengelak diri daripada dipengaruhi oleh kumpulan tertentu yang kebanyakannya mempunyai agenda peribadi,” titah baginda.

Sultan Mizan bertitah demikian  ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid  Ajil di sini hari ini.

Dalam pada itu, baginda juga bertitah, agar jawatankuasa masjid juga mempromosikan masjid sebagai wadah penyatuan umat Islam serta menghidupkan kembali peranan masjid dengan segala aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

“Di samping itu juga pihak-pihak yang terlibat dalam pengurusan masjid perlulah mempunyai minda yang terbuka, berfikiran kritis dan kreatif untuk merangka dan melaksanakan pelbagai program yang boleh melahirkan ummah yang cemerlang.

“Usaha yang bersepadu bagi mempromosi dan menyemarakkan program-program di masjid-masjid seluruh negeri perlu diperkasakan agar ianya mendapat tempat di hati setiap lapisan masyarakat,” titah baginda.

Titah Sultan Mizan lagi, kebolehan dan kepakaran para jemaah boleh digembleng bersama-sama jawatankuasa masjid untuk dimanfaatkan oleh anak kariah dan masyarakat setempat agar usaha ke arah mengoptimumkan fungsi masjid berjaya direalisasikan. – TRDI.my