KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berharap Persekutuan segera mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu hampir 500 pelajar sekolah dari negara Thailand yang menaiki bot di pangkalan haram Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia bagi menggelak pelajar berkenaan turut terkena tempias dalam usaha kerajaan membanteras penyeludupan.
Bagaimanapun menurut beliau, perbincangan itu perlu melibatkan kementerian berkaitan dan Kerajaan Negeri Kelantan.
“Sekarang ini, kita tidak mahu menganiaya pelajar-pelajar, tetapi pada masa sama nak membanteras penyeludupan di kedua-dua buah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Persidangan kali ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis.
Tambahnya, isu terbabit antaranya melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan, kerana itu perlu berbincang untuk mencari jalan penyelesaian yang tidak menyukarkan rakyat.
Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk menjaga sempadan negara dan Kelantan akan memberikan kerjasama sepenuhnya demi kebaikan kepada negeri serta negara.
Beliau juga turut mengingatkan rakyat di negeri ini supaya bersedia untuk berubah daripada menyeberang secara haram menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok kepada menggunakan dokumen di laluan sah.
Menurutnya, kerajaan negeri menyambut baik setiap keputusan Kerajaan Pusat berhubung isu keselamatan sempadan termasuk arahan larangan rentas sempadan melalui pangkalan haram di Sungai Golok bermula 1 Disember ini. – HARAKAHDAILY 22/11/2024