Kekangan dihadapi sukarkan warga emas manfaat SMUE

- Advertisement -

SHAH ALAM: Isu penuaan penduduk di Selangor yang semakin meningkat sehingga menjadikan negeri ini sebagai salah satu negeri menua dengan jumlah warga emas semakin bertambah.

- Advertisement -

Nurul Syazwani Noh (PN-Permatang) berkata, warga emas di kawasan luar bandar pada masa kini terpaksa hidup sendirian apabila ramai anak-anak mereka berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan.

“Walaupun kita lihat Skim Mesra Usia Emas (SMUE) ini diperkenalkan dan warga emas mendapat manfaat setahun sekali, namun hakikat sebenar mereka ini menghadapi masalah cabaran logistik dan kurang maklumat mengenai program kebajikan.

“Jadi bagaimana kerajaan negeri dapat memastikan tiada warga emas yang duduk dalam keadaan terpencil seorang diri dan terpinggir daripada bantuan kebajikan ini,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, pihaknya dalam proses untuk melakukan kajian sekiranya ada warga emas yang keperluannya bukan wang ringgit, tetapi lebih kepada menemani atau membawa kepada perkhidmatan kesihatan.

“Paling penting adalah pangkalan data untuk kita mengenal pasti di mana warga emas ini berada dan kita boleh membahagikan semula, serta berkongsi tanggungjawab daripada keluarga kepada komuniti, dan kepada kerajaan kepada sektor swasta,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/2024