Hukuman sebat di hadapan khalayak bawah Takzir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hukuman sebatan di hadapan khalayak ramai atas kesalahan khalwat berulang dilaksanakan di bawah peruntukan Undang-Undang Takzir.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hukum Takzir adalah di bawah bidang kuasa hakim mahkamah sesebuah negeri untuk menentukan hukuman terhadap kesalahan.

Beliau mengulas isu seorang lelaki yang ditahan kali ketiga di Terengganu di mana sekiranya tidak membayar denda akan dikenakan sebatan depan khalayak ramai.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menjelaskan, isu kesalahan khalwat adalah di bawah Undang-Undang Takzir dan bukannya Undang-Undang Hudud.

Tambah beliau, hakim melihat hukuman tersebut sebagai mekanisme dalam mengurangkan atau mencegah jenayah khalwat daripada terus berlaku dalam negeri Terengganu.

“Hukuman sebat depan khalayak ramai ini adalah sebagai satu mekanisme yang dilakukan bagi mencegah kesalahan khalwat yang dilakukan berulang kali.

“Apa pun kita ucapkan tahniah kepada pihak berkuasa kerana telahpun berusaha untuk melaksanakan pelbagai program dan agenda untuk sebarang jenayah terus berulang,” ujarnya.

Tuan Ibrahim turut mengimbas dengan menyatakan pernah melihat pesalah yang ditangkap kerana berlaga ayam, lalu dihukum di Kota Bharu.

Kata beliau lagi, pesalah tersebut telah diarak sekeliling bandar tersebut yang bertujuan untuk memalukannya di hadapan khalayak ramai.

“Hukuman sebegini adalah supaya dia tidak lagi melakukan kesalahan yang sama dan saya fikir ini mekanisme yang perlu dapat dokongan kita bersama supaya negara kita bebas daripada budaya maksiat,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 22/11/2024