KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden menyifatkan Sambutan Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 adalah pembaziran dana rakyat yang tidak berasas.
Beliau berkata, program berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) itu sebagai langkah penuh simbolik yang hanya menonjolkan persepsi optik tanpa memberi manfaat sebenar kepada rakyat.
“Sambutan yang berlangsung selama tiga hari sepastinya dipenuhi dengan persembahan pentas daripada politikus yang petah berbicara dengan mengkhabarkan kejayaan penuh kosmetik dan perjuangan reformasi yang penuh fantasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Alor Setar itu, tindakan kerajaan memilih lokasi berprestij seperti KLCC tidak mencerminkan semangat kesederhanaan yang sering dilaungkan.
Beliau turut mengulas isu keberadaan Nurul Izzah Anwar dalam rombongan Perdana Menteri ke luar negara baru-baru ini, walaupun beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.
“Kritikan terhadap pentadbiran terdahulu berhubung hal ini kini terbukti ianya hanya sebuah hipokrasi.
“Keberadaan Nurul Izzah yang tiada sebarang jawatan dalam kerajaan selain tiada sebarang penjelasan kepada rakyat mengenai ini menampakkan ianya satu amalan nepotisme yang nyata,” ujar beliau.
Afnan juga mempersoalkan lantikan politik melibatkan dua wakil rakyat DAP sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Bank Rakyat dan FAMA, yang menurutnya bertentangan dengan prinsip meritokrasi.
“Lantikan sebegini tidak hanya mencetuskan persoalan mengenai keupayaan individu dilantik, tetapi juga tentang keutamaan kerajaan dalam menempatkan individu berkelayakan berbanding individu berkepentingan politik.
“Bukankah ini bertentangan dengan prinsip meritokrasi yang pernah dijanjikan?” persoalnya lagi.
Beliau turut menyelar tindakan penyokong Pakatan Harapan yang memperlekeh Belanjawan Terengganu tanpa bonus penjawat awam, sedangkan ia berpunca daripada penafian royalti minyak kepada negeri itu oleh Menteri Kewangan.
“Setelah berada di tampuk kuasa royalti yang hanya 5 peratus turut Perdana Menteri ke-10 nafikan kepada Terengganu, walhal ketika bergelar Ketua Pembangkang, dia menjanjikan royalti 20 peratus kepada Terengganu.
“Demikianlah PH, bukan sahaja mewarisi amalan kronisme, nepotisme, hipokrasi dan retorika yang dikritiknya dahulu, sebaliknya semakin membarah.
“Makanya, dengan reputasi dan prestasi yang merudum, program 2 Tahun Madani sangat tidak wajar disambut kerana ianya hanya pembaziran duit rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/2024
Dua tahun hanya kosmetik, reformasi penuh fantasi
Kronisme, nepotisme, hipokrasi dan retorika membarah
- Advertisement -