Bas Smart Selangor kurang sambutan – Dr Yunus

- Advertisement -

SHAH ALAM: Isu keberkesanan perkhidmatan Bas Smart Selangor di Kuala Langat terus menjadi perhatian apabila perkhidmatan tersebut dilihat sering kosong atau membawa bilangan penumpang sangat sedikit.

- Advertisement -

Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkang) berkata, situasi itu mencetuskan kebimbangan mengenai pembaziran sumber dan dana awam.

Selain itu, beliau berkata, projek Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) yang bakal menghubungkan Selangor hingga ke Johor dijangka memberi impak besar kepada sistem pengangkutan awam di kawasan Kuala Langat

“Bilangan pengguna pengangkutan awam di kawasan tersebut akan bertambah,” ujarnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, turut membangkitkan isu status Hentian Integrasi Banting di Kuala Langat yang dianggap kritikal sebagai hab pengangkutan awam.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, Kerajaan Negeri akan mengkaji semula laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor di kawasan Sijangkang dan Kuala Langat susulan sambutan yang kurang memuaskan daripada penduduk setempat.

Sze Han menyatakan hasrat untuk mencuba menukar laluan bas melalui depan sekolah dengan harapan langkah ini dapat menarik lebih ramai pengguna, khususnya pelajar dan ibu bapa yang memerlukan pengangkutan awam. – HARAKAHDAILY 22/11/2024