Tangani kos pembinaan, projek sakit dengan segera

Sabri Azit
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Langkah proaktif perlu diambil segera oleh kerajaan untuk menangani kenaikan kos bahan binaan dan gaji minimum yang memberi kesan langsung kepada pelaksanaan projek kerajaan dalam Belanjawan 2025.

- Advertisement -

Sabri Azit (PN-Jerai) mencadangkan kerajaan memperkenalkan mekanisme kawalan harga yang lebih berkesan serta subsidi bersasar kepada kontraktor yang terkesan.

“Saya mencadangkan agar satu kajian menyeluruh dijalankan untuk menilai impak langsung kenaikan ini terhadap perlaksanaan projek kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Belanjawan 2025 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat hari ini. 

Selain itu, beliau mempersoalkan usaha kerajaan dalam memperkasakan kontraktor kecil seperti G1 hingga G4 Bumiputera, yang menerima peruntukan RM1.3 bilion dalam Belanjawan 2025.

Menurutnya, tempoh pemulihan projek sakit yang panjang menyebabkan peningkatan kos pembangunan dan risiko kerosakan projek yang ditinggalkan.

“Apakah usaha kerajaan untuk mengurangkan masa supaya tidak memberi kesan lebih teruk pada projek sakit ini?” soalnya. – HARAKAHDAILY 21/11/2024