‘Saya tidak sebut nama atau syarikat mana’

- Advertisement -

PADANG TERAP: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, peringatan beliau agar tidak berlaku penipuan berkenaan isu mengambil alih Kedah Darul Aman (KDA) FC, tidak ditujukan kepada  sesiapa.

- Advertisement -

Menurutnya, beliau berkata demikian berikutan sebelum ini sudah banyak usaha untuk mengambil alih KDA FC, tetapi ia merupakan satu penipuan.

“Kita harap pengalaman itu tidak berulang lagi. Jadi saya rasa itu adalah komen yang adil bagi seorang Menteri Besar,” katanya.

Beliau menjelaskan perkara tersebut ketika ditemui media selepas majlis Pelancaran dan Pecah Tanah, Desa Sejahtera, di Kampung Perik, di sini semalam.

Isnin lalu media melaporkan, Pegawai Eksekutif Kumpulan DSAT, Datuk Seri Azizul Tandek akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar Kedah.

Tindakan saman sebanyak RM1 bilion itu menurut beliau atas kenyataan Sanusi pada sidang media di Sungai Petani, 7 November lalu kononnya mempertikaikan kemampuan syarikat berkenaan untuk mengambil alih KDA FC.

“Saya pun tak tahu, saya kata apa dekat dia. Saya tak sebut nama dia atau nama syarikat dia. Saya pun tak ‘mention’ sesiapa. Cuma sebut siapa yang nak ambil alih KDAFC, jangan jadi ‘scammer’ itu saja.

“Siapa makan cili, dia akan rasa pedas. Kut la dia tokak (gigit) cabai
tapi saya pun tak tau dia tokak ke tidak,” bidas Sanusi lagi memaklumkan setakat ini beliau belum menerima sebarang LOD (Surat Tuntutan) berkenaan hal itu.

Dalam pada itu, Sanusi juga enggan mengulas hal itu dengan lebih lanjut. – HARAKAHDAILY 21/11/2014