KUALA LUMPUR: Pihak pembangkang berkongsi semangat Perdana Menteri dalam melaksanakan reformasi untuk memerangi rasuah, kata Datuk Awang Hashim (PN-Pendang).
“Kami di blok pembangkang berkongsi semangat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam melaksanakan reformasi untuk memerangi rasuah, memperjuangkan kebebasan media, memperkukuh sistem demokrasi dan hak pesara rakyat.
“Soalnya pada masa sama terdapat lagi pihak yang masih tidak berpuas hati dengan pencapaian Kerajaan Madani. Dalam hal ini sebagai contoh penarafan markah D yang diberikan oleh badan bukan kerajaan (NGO) pro Pakatan Harapan (PH) iaitu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
“Bersih mempersoalkan hala tuju serta kejayaan kerajaan hari ini dalam menunaikan janji untuk melaksanakan manifesto seperti dalam buku manifesto tawaran PH Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
“Saya rasa tidak berpuas hati bila penilaian yang diletakkan oleh Bersih ini, PMX yang amat disanjungi di seluruh dunia yang ‘baru balik ini’ adalah nombor tiga lebih rendah daripada mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini saya tidak boleh terima, sebab itu (PMX) Perdana Menteri saya,” ujarnya sinis.
Oleh itu, katanya kedudukan Malaysia yang jatuh merudum tempat ke-34 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 mungkin kerana ramai didakwa dan diharamkan akaun media sosialnya kerana menegur kerajaan dalam melaksanakan janji-janji PH sebelum menjadi kerajaan.
“Saya minta rombakan ini tukar Menteri Komunikasi, minta penjelasan Yang Berhormat Tambun dalam kebebasan bersuara yang diperjuangkan sebelum ini,” katanya.
Beliau mencadangkan supaya pelantikan jawatan utama dalam agensi penguatkuasaan termasuk Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan.
Selain itu, beliau juga meminta penjelasan daripada PMX mengenai status pelaksanaan Akta Pendanaan Politik serta pengagihan dana pembangunan kawasan (CDF) pilihan raya secara sama rata kepada semua wakil rakyat Parlimen tanpa mengira parti.
“Ke manakah Yang Berhormat Tambun hendak bawa hal ini kerana masih suram lagi.. kami nampak kelam harapan untuk dilaksanakan. Mohon penjelasan,” katanya.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menerima teguran itu dan mengakui bahawa keperluan untuk memperbaiki persepsi terhadap kebebasan media dalam negara.
“Kita cuma ada keterbatasan, itu saja masalahnya. Kita juga terikat dengan masalah 3R (Raja, Agama dan Kaum). Sementara kita izinkan orang bicara tetapi sidang dalam Raja-Raja Melayu itu sangat tegas,” ujarnya.
Dalam soalan asal, Awang minta Perdana Menteri menyatakan tahap pencapaian Kerajaan Madani setelah mencapai usia dua tahun pemerintahan dalam melaksanakan pelbagai janji reformasi antaranya usaha memerangi rasuah, memperkukuh integriti institusi, memperkasa sistem demokrasi serta menjamin kebebasan media dan hak bersuara rakyat. – HARAKAHDAILY 21/11/2024