Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membandingkan gred ‘D’ oleh Bersih dengan “peperiksaan UPSR” adalah tidak matang dan tidak bertanggungjawab. Sebagai pemimpin tertinggi, beliau sepatutnya menerima kritikan dengan serius dan menunjukkan komitmen memperbaiki kelemahan pentadbiran.
Gred ini jelas mencerminkan kegagalan memenuhi janji reformasi yang dijanjikan kepada rakyat. Sikap memperlekehkan kritikan hanya merosakkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan beliau. Apa yang diperlukan bukan retorik atau gurauan, tetapi tindakan nyata yang membawa perubahan.
Tajaan lawatan: ancaman kepada integriti
Tindakan menerima tajaan syarikat swasta untuk lawatan rasmi membuka ruang kepada konflik kepentingan dan menjejaskan integriti pentadbiran. Ia juga mencetuskan persepsi bahawa keputusan kerajaan boleh dipengaruhi oleh kepentingan pihak penaja, sekali gus menghakis keyakinan rakyat.
Lebih membimbangkan, amalan ini memberi contoh buruk kepada penjawat awam. Ia berpotensi mewujudkan budaya kronisme dan rasuah dalam pentadbiran, merosakkan kepercayaan kepada institusi kerajaan.
Sebagai Perdana Menteri, beliau harus menolak tajaan sebegini dan memastikan semua perbelanjaan rasmi dibiayai secara telus melalui saluran rasmi. Rakyat berhak mendapat kepimpinan yang bebas, bersih, dan telus tanpa sebarang pengaruh luar.
Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ (Dr) Mohd Amar bin Abdullah
Naib Presiden PAS