Projek Desa Sejahtera bantu golongan miskin

Dirikan rumah walaupun tiada tanah

- Advertisement -

PADANG TERAP: Projek Desa Sejahtera di Daerah Padang Terap merupakan permulaan bersejarah kepada Kerajaan Negeri untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar memiliki tanah sendiri.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebanyak 100 lot tapak rumah berkeluasan antara 3,000 hingga 4,000 kaki persegi disediakan untuk didirikan rumah kepada golongan berkenaan.

“Ini adalah satu permulaan yang bersejarah dalam negeri Kedah untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar untuk memilik tanah untuk didirikan rumah.

“Ada banyak skim bantuan rumah yang ditawarkan sama ada oleh pihak KEDA, MARA dan lain-lain tetapi bila tiada tanah, tidak boleh memohon. Melalui projek Desa Sejahtera ini, kita akan beri geran setiap individu yang berjaya memperolehi tanah ini.

“Jadi bolehlah memohon skim bantuan untuk mendirikan rumah,” jelas beliau selepas merasmikan majlis pelancaran dan pecah tanah lot Desa Sejahtera, di Perik, di sini semalam.

Jelasnya lagi, selepas ini akan ada kerjasama bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), agensi negeri DAN anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC).

Termasuk katanya, syarikat korperat dan agensi Kerajaan Persekutuan yang mempunyai skim bantuan rumah untuk melihat tapak itu bagi diberi bantuan.

Malah ujar beliau, LZNK juga telah mempunyai perancangan untuk membina bengkel untuk memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di situ, termasuk menyediakan lot kedai bagi dibuat bengkel jahitan, masakan dan kuih-muih.

“Dengan keluasan tanah ini, saya kira selesalah untuk didirikan sebuah rumah dan ada sedikit kawasan halaman. Jadi macam rumah kampunglah.

“Bolehlah buat reban ayam ke sikit, tanam sayur sikit, bolehlah untuk dia tampung kehidupan bersama keluarga,” kata ADUN Jeneri itu lagi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Norizan Khazali dan Pegawai Daerah Padang Terap, Azmin Zainol serta Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Sanusi tidak lupa merakamkan jutaan terima kasih kepada Pejabat Tanah dan Galian Kedah serta Pejabat Daerah Padang Terap yang bertindak pantas agar idea yang baik itu menjadi kenyataan.

“Tapak Desa Sejahtera di Perik ini ini asalnya tapak kuari dan kita ubah menjadi lot-lot kediaman. Di daerah lain yang telah mengenal pasti tempat, selepas ini kita akan proses sepertimana kita proses tapak ini juga.

“Idea ini boleh dikembangkan dari semasa ke semasa dan saya yakin ramai yang akan menyokong dan akan terus memberi cadangan penambahbaikan untuk mempermudahkan urusan kita bantu orang miskin,” tambahnya

Sementara itu tegasnya, projek Desa Sejahtera ini hanya akan diberikan kepada golong yang betul-betul miskin dan mana-mana pihak tidak dibenarkan menjadikan projek ini untuk menolong adik-beradik atau kroni masing-masing.

Dalam masa yang sama, beliau mengakui 100 lot itu tidak akan dapat dipenuhi penghuni dalam tempoh serta merta, tetapi berdasarkan keperluan semasa.

Mengulas lanjut katanya, program tersebut secara tidak langsung menjadikan Kerajaan Negeri fasilitator kepada golongan miskin
untuk mendapatkan akses atau mencari peluang.

“Sebenarnya orang yang tak ada akses ni, dia tak tahu dan dia tak tahu nak pergi mana. Orang yang tahu tak apa sebab dia tahu macam-macam, peluang dia banyaklah.

“Orang susah (miskin) ini memang betul mereka tak tahu jalan, jadi kitalah bantu tunjuk dia jalan agar mereka boleh membina kehidupan lebih baik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, semua permohonan dan pemilikan geran akan ditentukan oleh Pejabat Daerah dengan syarat serta kriteria yang ditentukan.

“Apabila semua urusan dan geran pemilikan telah dikeluarkan, pemohon yang berjaya akan dikenakan premium untuk tapak ini. Dominanlah, bukanlah mahal,  supaya pemilikan tanah itu ada harganya.

“Tetapi tidaklah kena bayar sekali gus. Bila kita pilih dia, dia kena ikhtiar juga, sumbangan dia sendiri baru ada nilai untuk diri dia,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 20/11/2024