KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak memberikan penjelasan dan tindakan segera terhadap isu peruntukan pembinaan lampu jalan serta inovasi keselamatan jalan raya dalam Belanjawan 2025.
Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) menyuarakan kebimbangan mengenai tiada perincian khusus untuk lampu jalan dalam butiran ‘pelbagai pembinaan’ bernilai RM203 juta dan ‘lain-lain pembinaan’ berjumlah RM1.412 bilion.
“Adakah peruntukan untuk lampu jalan termasuk dalam butiran ini, memandangkan masih banyak kawasan luar bandar seperti Hulu Selangor yang belum mempunyai kemudahan ini?” soal beliau.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Belanjawan 2025 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat hari ini.
Mohd Hasnizan turut menggesa agar lampu jalan yang dipohon oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor meliputi kawasan seperti Sungai Choh, Rasa, Kuala Kubu Bharu, Kalumpang, dan Bukit Tagar diluluskan segera.
Beliau mencadangkan penggunaan teknologi garisan jalan bercahaya atau ‘glow in the dark’ sebagai alternatif, sambil memohon kementerian menjelaskan keberkesanan projek perintis tersebut.
“Adakah kerajaan bercadang memperluaskan inovasi ini ke lokasi lain termasuk lebuh raya, dan berapakah peruntukan yang disediakan untuk tujuan itu?” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2024