Peruntuk RM280,000 bagi pembangunan, promosi usahawan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan sejumlah RM280,000 pada tahun 2024 bagi pembangunan dan promosi usahawan, khususnya dalam industri kraftangan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman berkata, langkah itu bertujuan memperkukuhkan ekonomi negeri.

Iaitu jelasnya, dengan memberi sokongan kepada usahawan tempatan untuk berkembang dan memperluaskan pasaran produk mereka. 

Katanya, sebanyak RM140,000 diperuntukkan untuk pembangunan usahawan, manakala baki RM140,000 digunakan bagi aktiviti promosi. 

“Kerajaan Negeri juga menyokong usaha yang dijalankan oleh pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Terengganu dalam pelaksanaan Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) dengan memfokuskan latihan dalam pelbagai bidang kraf.

“Termasuk anyaman daun getah, tenunan, batik, dan logam serta membantu dari segi promosi dengan membawa pengusaha kraf ke ekspo-ekspo atau karnival keusahawanan bagi memasarkan produk-produk kraf tangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ghazali Sulaiman (PAS-Bukit Besi) pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Persidangan DUN Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Ghazali meminta kerajaan negeri menyatakan peruntukan kewangan atau kursus latihan disediakan bagi industri kraf tangan, termasuk jumlah peruntukan yang diberikan.

Menurut Ariffin, Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu akan melaksanakan program blok batik yang kini mendapat permintaan tinggi.

“Setiap program akan ada dua fasa dengan peruntukan bagi satu kursus antara RM9,000 ke RM10,000 dan membantu dari segi promosi dengan membawa pengusaha kraf ke ekspo-ekspo atau karnival keusahawanan bagi memasarkan produk mereka,” katanya.
 
Menurutnya lagi, Desa Ukiran Kayu (DUK), Kompleks Tuanku Nur Zahirah (KTNZ), dan Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (PLIPT) turut memainkan peranan penting dalam pelaksanaan program-program ini.

“Mereka berkolaborasi untuk menyediakan platform bagi latihan, pameran, dan pasaran bagi pengusaha kraf tempatan.

“Melalui usaha ini, kerajaan negeri berharap dapat memperkukuhkan ekonomi komuniti setempat dan mempromosikan produk kraf Terengganu ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.
 
Pada tahun 2024 kata beliau, beberapa aktiviti berfokuskan industri kraf dan pelancongan di Terengganu telah dilaksanakan oleh pelbagai agensi termasuk Desa Ukiran Kayu (DUK).

Juga Kompleks Tuanku Nur Zahirah (KTNZ), dan Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (PLIPT) dan Muzium Negeri Terengganu. – HARAKAHDAILY 21/11/2024