KUALA LUMPUR: Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) menegaskan perlunya strategi jelas dan menyeluruh bagi memperkasakan penglibatan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam industri halal bernilai USD5 trilion menjelang 2030.
Beliau turut menyeru kerajaan memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia sebagai hab ASEAN dan rakan dagang Timur Tengah untuk mengukuhkan ekosistem halal negara.
“Apakah insentif atau geran yang disediakan bagi membantu PKS menampung kos seperti bimbingan kursus, yuran audit, dan kos tambahan dalam operasi mereka?” soalnya di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad Yunus menekankan pentingnya perancangan khusus oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menjelang pengerusian ASEAN untuk membantu PKS menembusi pasaran serantau.
Beliau percaya dengan langkah strategik, Malaysia mampu menjadi peneraju utama industri halal dunia dan memperkukuh kedudukannya di pentas antarabangsa.
Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata kementerian akan menganjurkan dua mesyuarat peringkat pegawai tertinggi dan memanfaatkan produk PKS sebagai cenderamata delegasi antarabangsa.
Menurutnya, beberapa program pembangunan halal turut dirancang, termasuk bantuan geran kepada 65 usahawan untuk penjenamaan, pembungkusan, dan perlabelan serta program inovasi halal dengan peruntukan RM5 juta.
Selain itu katanya, program pengantarabangsaan dan pematuhan pensijilan halal juga dilaksanakan untuk meningkatkan akses produk halal tempatan di peringkat antarabangsa. – HARAKAHDAILY 21/11/2024