KOTA BHARU: Keprihatinan kerajaan Kelantan terserlah lagi apabila pengayuh beca turut mendapat bantuan bulanan kerajaan negeri.
Sebelum ini mereka menerima bantuan sebanyak RM1,200 yang diagih dua kali dalam tempoh setahun.
Namun, hari ini Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud mengumumkan kerajaan negeri bersetuju menaikkan elaun penarik beca daripada RM100 kepada RM500 sebulan.
Katanya, elaun itu akan dibayar bermula Januari 2025 kepada 17 penarik beca yang berdaftar dengan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC).
“Usaha ini untuk memastikan beca yang merupakan pengangkutan tradisional sebagai ikon pelancongan Kelantan tidak dipinggirkan,” katanya ketika membentang Belanjawan Kelantan 2025 di persidangan DUN hari ini.
Selain itu Menteri Besar turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Katanya, ia sebagai menghargai jasa dan bakti pegawai dan kakitangan kerajaan negeri yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti membangunkan negeri.
Kata beliau, Bayaran Bantuan Khas Kewangan itu juga melibatkan lantikan-lantikan politik.
“Bayaran tersebut akan disalurkan pada Februari 2025 dengan implikasi kewangan sebanyak RM4.97 juta,” ujarnya.
Kerajaan negeri juga bermurah hati memberi diskaun sebanyak 90 peratus ke atas tunggakan denda cukai tanah kepada seluruh rakyat Kelantan.
Kata beliau langkah tersebut sebagai menggambarkan sebuah kerajaan negeri yang adil, prihatin dan berkebajikan.
Katanya tempoh tawaran diskaun tersebut bagi tempoh sebulan bermula 1 hingga 30 Disember 2024 dan tertakluk kaedah bayaran sebagaimana Surat Pekeliling Perbendaharaan Negeri Kelantan Bilangan 1 Tahun 2024. – HARAKAHDAILY 21/11/2024