Negeri perlu dilibatkan untuk perkasa dasar kementerian

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) menegaskan pentingnya penglibatan kerajaan negeri dalam menyelaraskan dasar dan pelan strategik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

- Advertisement -

Beliau menyatakan kerjasama erat antara kementerian, agensi berkaitan, dan kerajaan negeri perlu terus diperkasa untuk memanfaatkan semua segmen masyarakat. 

“Soalan saya, setakat ini berapa banyakkah mesyuarat bersama dengan Exco Wanita di peringkat negeri telah diadakan, dan bagaimana semakan dasar kementerian diselaraskan dengan keperluan semasa negara?” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau turut mencadangkan agar kejayaan kerajaan negeri dalam pembangunan wanita diperluaskan untuk manfaat nasional.

Siti Zailah berharap semakan dasar dan pelan strategik kementerian dapat memastikan ia terus relevan dengan keperluan semasa.

Usaha itu, katanya, adalah penting untuk memastikan manfaat dapat dirasai oleh semua pihak secara menyeluruh.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam jawapannya memberitahu, Majlis Wanita dan Keluarga Negara, yang ditubuhkan pada 2023, telah menggantikan Majlis Wanita Negara dengan pendekatan lebih komprehensif melibatkan sektor swasta, akademik, dan NGO.

Menurutnya, mesyuarat majlis itu telah berlangsung dua kali dan membincangkan pelbagai isu utama, termasuk penglibatan EXCO Wanita negeri.

Noraini berkata, kementerian sedang meneliti cadangan mengembalikan wakil kerajaan negeri ke dalam mesyuarat sebagai usaha menyelaras pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat.

Zailah dalam soalan asalnya meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan apakah program serta libat urus yang telah dilaksanakan antara KPWKM dengan kerajaan-kerajaan negeri di seluruh negara serta pencapaian setakat ini. – HARAKAHDAILY 21/11/2024