KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif untuk menangani fenomena kemarau berpanjangan yang dijangka berlaku antara 2025 hingga 2035.
Kenyataan itu dibuat menerusi laman media sosialnya berdasarkan laporan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) mengenai impak kemarau terhadap sumber air dan sektor pertanian.
Beliau merujuk kejadian kemarau di Bukit Merah, Taiping, serta pengalaman kemarau ekstrem pada 1998 di Chuping, Perlis dengan suhu mencecah 40.1°C.
“Sekiranya perkara ini berulang, ia pastinya akan memberi impak besar terhadap keterjaminan makanan negara,” katanya dalam Ucaptama Persidangan Asia Tenggara mengenai Keterjaminan Makanan dan Kelestarian (SEACOFSS) 2024.
Tuan Ibrahim turut menyarankan kerajaan untuk mempelbagaikan sumber air dengan memperkukuh pengurusan sumber air yang terhad akibat kemarau.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu memetik penggunaan air bawah tanah yang hanya digunakan sekitar 2-3 peratus di Malaysia sebagai langkah perlu diberi perhatian.
“Malaysia mempunyai sumber air bawah tanah berkapasiti tinggi, sehingga boleh mencecah 5,000 bilion m³ dengan keupayaan penjanaan semula sebanyak 64 bilion meter padu setahun,” jelas beliau mengimbas program di Kota Bharu, Kelantan pada 17 November lalu itu.
Langkah itu katanya, mampu menyelesaikan isu bekalan air di negeri-negeri seperti Negeri Sembilan dan Melaka yang tidak mempunyai sumber air besar dari sungai.
Beliau menambah, kerajaan perlu segera mengintegrasikan air bawah tanah dalam sistem air negara bagi mewujudkan bekalan yang lebih mampan.
“Infrastruktur tadahan untuk air bawah tanah boleh dibina dengan penggunaan khusus semasa keadaan kritikal seperti musim kemarau yang memberi impak buruk kepada kawasan pertanian,” katanya.
Tuan Ibrahim turut mengingatkan bahawa Malaysia memiliki sumber besar, kepakaran dan agensi yang hebat, namun tidak memanfaatkan potensi itu sepenuhnya.
Oleh itu, beliau menyeru tindakan segera diambil untuk mengelakkan kerugian besar kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan. – HARAKAHDAILY 21/11/2024
Malaysia perlu siap hadapi kemarau panjang – Tuan Ibrahim
- Advertisement -