KUALA LUMPUR: Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang mula dirancang pada 2009, sehingga kini belum dilaksanakan yang terus menjadi tanda tanya terhadap komitmen kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan.
Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, projek itu telah beberapa kali dijadualkan semula meskipun pelan pembangunannya sudah lengkap, namun pelaksanaannya masih tertangguh sehingga kini.
“Adakah penangguhan projek ini bukti kegagalan yang tidak sepatutnya berlaku kerana kita perlu ingat bahawa bukan hanya kelewatan dan penafian keadilan, malah kelewatan dan menafikan Kebajikan?
“Selain itu, apakah perbezaan kita yang berada di Pantai Timur, manakala pantai barat pula menikmati bangunan pesat dengan dua lebuh raya utama dan ada lebih kurang 33 lebuh raya yang telah pun siap, tetapi di Pantai Timur terus dianak tirikan terutamanya di kawasan Kelantan.
“Jangan biarkan rakyat Pantai Timur terasa bahawa kerajaan hanya memberi alasan dan banyak berdalih untuk kepentingan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau turut merujuk kepada titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V semasa istiadat pengurniaan penghormatan kebesaran sempena ulang tahun baginda ke-55, yang turut menyeru kerajaan Persekutuan mempercepatkan pelaksanaan projek yang tertangguh di negeri itu. – HARAKAHDAILY 21/11/2024