KUALA LUMPUR: Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) menggesa kerajaan memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada syarikat tempatan yang berinovasi, terutama dalam sektor automasi dan teknologi tinggi.
Beliau berkongsi pengalaman melawat sebuah syarikat automasi di Pulau Pinang yang menghasilkan mesin robotik dan bekalan perubatan berkualiti tinggi.
Menurutnya, syarikat tersebut mempekerjakan 95 peratus jurutera berkemahiran tinggi dari pelbagai kaum dan latar belakang.
“Ini yang sepatutnya diberikan insentif, diberikan dorongan yang digalakkan oleh Kesuma,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) di Dewan Rakyat hari ini.
Namun, beliau menyatakan rasa sedih apabila syarikat tersebut lebih diiktiraf di luar negara berbanding dalam negara.
“Produk mereka dieksport dan dikenali di luar, tetapi kurang mendapat sokongan daripada kerajaan kita sendiri,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 21/11/2024