KOTA BHARU: Kemasukan pelancong ke Kelantan melalui laluan darat menggnakan bas ekspres, bas pelancong, van, kereta serta motorsikal sentiasa meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Kamarudin Md Noor berkata, pelancong datang dari arah Gerik, Gua Musang, Bachok dan Pasir Puteh.
Katanya, jumlah bas ekspres Mutiara yang masuk ke Kelantan setiap hari berjumlah 32 dari pelbagai destinasi.
“Jika sebulan jumlah 960 bas. Dan sekiranya 960 bas dinaiki 30 penumpang setiap bas jumlahnya 28,800 orang.
“Dan 28,800 orang dikali dalam tempoh 12 bulan, jumlahnya bertambah 276,480 penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas Mutiara sahaja,” katanya ketika menjawab soalan Mohd Fauzi Abdullah (PAS-Manek Urai) pada persidangan DUN Kelantan hari ini.
Menurutnya, data tersebut hanya diperolehi dari sebuah syarikat bas sahaja dan belum lagi jumlah penumpang yang menaiki bas beberapa syarikat lain.
Kamarudin juga berkata, jumlah pelancong yang mungunjungi Kelantan bagi tempoh Januari hingga Jun lepas seramai 1.5 juta.
Menurutnya jumlah berkenaan termasuk diperolehi di tiga pintu sempadan Kelantan-Thailand iaitu di Bukit Bunga, Sungai Golok dan Takbai seramai 804,247.
Menurutnya, manakala jumlah pengunjung dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra seramai pula seramai 708,114 orang.
“Data yang sebenar dikumpulkan Jabatan Perangkaan Malaysia di bawah Kementerian Ekonomi dan ia belum dikeluarkan lagi bagi tahun 2024.
“Ia dijangka akan dikeluarkan menjelang pertengahan tahun 2025. Namun, kerajaan negeri bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan untuk mengumpul data bagi setiap program-program yang diunjurkan.
“Data ini penting untuk kita membuat penilaian dan perancangan sesuatu program,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Mohd Fauzi beliau berkata, kerajaan negeri berpuas hati dengan sambutan pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2024. – HARAKAHDAILY 21/11/2024