Jawapan PMX masih berbelit, berpusing – Ahmad Fadhli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak memanfaatkan Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), di Dewan Rakyat.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian apabila Perdana Menteri tidak menjawab soalan di Parlimen dengan lebih tegas berhubung isu Israel tiada hak wujud dan mempertahankan diri.

Menurut Ahmad Fadhli, beliau menyangka kepulangan Anwar untuk menjawab soalan di Parlimen lebih tegas, namun sayangnya masih berbelit-belit dan berpusing-pusing.

“Saya sangka kepulangan PMX untuk menjawab soalan di Parlimen dengan lebih tegas bahawa ‘Israel’ tiada hak untuk wujud’ dan ‘tidak timbul isu mempertahankan diri’. Sayangnya, masih berbelit-belit dan berpusing-pusing.

“Apabila Ketua Pembangkang bertanya secara langsung tentang dakwaan Perdana Menteri mengiktiraf hak Israel untuk wujud dan mempertahankan diri, ramai mungkin mengharapkan jawapan yang jelas dan tegas.

“Terutamanya daripada seorang pemimpin yang sering mendakwa dirinya sebagai pembela keadilan dan kemanusiaan. Namun, apa yang rakyat terima hanyalah pertunjukan penuh pusingan dan belitan.

“Seolah-olah Perdana Menteri sedang membuat persembahan akrobatik politik,” katanya di media sosial hari ini.

Ahmad Fadhli berkata, Perdana Menteri boleh menjawab soalan Ketua Pembangkang dengan mudah, namun memilih jalan berliku dan berputar.

“Daripada menjawab dengan mudah, “tidak, Israel tiada hak untuk wujud,” Perdana Menteri memilih jalan berliku dipenuhi dengan hujah berputar-putar, justifikasi samar-samar, dan keengganan yang nyata untuk memberikan jawapan yang jelas.

“Beliau bercakap tentang diplomasi, kerumitan serantau, dan keperluan untuk naratif seimbang, tetapi tidak sekali pun beliau menyebut dengan tegas bahawa sebuah negara apartheid yang menindas berjuta-juta orang tiada langsung hak moral atau undang-undang untuk wujud.

“Mungkin beliau tersilap anggap Dewan Rakyat sebagai kelab debat, di mana gaya lebih diutamakan daripada isi,” bidasnya.

Beliau juga mengulas, seorang pemimpin yang sering berkhutbah mengenai keperluan untuk membela golongan tertindas, kegagalannya untuk secara jelas menolak legitimasi Israel itu cukup memeranjatkan.

“Adakah keberanian dan ketegasan kini telah menjadi mangsa kepada retorik politik? Atau mungkin beliau berharap dengan memutar-mutar jawapan, isu ini akan hilang begitu sahaja. Sayangnya untuk beliau, rakyat tidak semudah itu untuk dikelirukan.

“Akhirnya, ‘jawapan’ Perdana Menteri atau ketiadaan jawapan sebenar memberikan mesej yang lebih besar. Ia bukan sahaja menonjolkan keengganan untuk mengambil pendirian moral yang jelas, tetapi juga membayangkan satu corak politik yang semakin kabur.

“Jika pemimpin kita tidak mampu menjawab persoalan asas moral dengan kejelasan, apa harapan untuk tindakan yang bermakna?

“Mungkin pada masa akan datang, soalan-soalan perlu dihantar lebih awal, lengkap dengan pilihan jawapan berganda, untuk memudahkan tugas Perdana Menteri,” sinisnya. – HARAKAHDAILY 21/11/2024