IPT Barat gerak protes Palestin, IPT kita hiburan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ameerah Malaysia menyatakan bantahan terhadap tindakan membudayakan hiburan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), namun gagal mengangkat IPT Malaysia di persada antarabangsa dalam aspek keilmuan.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Ameerah, Mardhiyyah Johari berkata, konsert Warner Music Festival yang diadakan di pelbagai IPT seluruh negara mencetuskan kebimbangan terhadap sejauh manakah pihak universiti serius dalam memperbaiki prestasi universiti dalam aspek keilmuan.

“Bagaimanakah festival hiburan boleh dibenarkan masuk ke universiti-universiti dan bukannya festival keilmuan? Hanya sebuah universiti awam yang berjaya menempatkan diri dalam kalangan 100 universiti terbaik dunia.

“Justeru, budaya keilmuan yang seharusnya diberi penekanan oleh pihak universiti, bukannya hiburan yang boleh diakses oleh pelajar-pelajar hari ini di hujung jari,” katanya dalam satu kenyataan.

Mardhiyyah dalam pada itu menggesa agar berhenti melalaikan generasi-generasi muda di Malaysia.

“Di Barat, mahasiswa mahasiswi universiti-universiti terbaik dunia menggerakkan protes kemanusiaan untuk Palestin, namun di Malaysia festival hiburan dianjurkan dalam keadaan pembunuhan besar-besaran masih berterusan.

“Ameerah Malaysia menggesa agar festival muzik cerminan hedonisme ini tidak diulangi lagi dan mendesak seluruh IPT Malaysia memberi fokus pada fungsi utama institusi pendidikan iaitu memandaikan generasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2024

- Advertisement -