ICC keluar waran tangkap terhadap Netanyahu, Gallant

Netanyahu (kanan) dan Gallant
- Advertisement -

THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan mantan Menteri Pertahanan, Yoaz Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Ketika memutuskan untuk mengeluarkan waran itu, hakim ICC berkata terdapat asas yang munasabah untuk mempercayai bahawa Netanyahu dan Gallant bertanggungjawab secara jenayah terhadap kebuluran di Gaza dan penganiayaan terhadap rakyat Palestin.

Pendakwaraya ICC, Karim Khan, mengumumkan pada 20 Mei lalu bahawa beliau sedang mendapatkan waran tangkap untuk jenayah yang dikaitkan dengan serangan diketuai Hamas ke atas Israel dan tindak balas kejam ketenteraan Israel di Gaza.

- Advertisement -

Israel menolak bidang kuasa ICC yang berpusat di The Hague dan menafikan jenayah perang di Gaza.

Bekas Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett berkata, keputusan ICC untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallant adalah “tanda kehinaan” bagi mahkamah itu. Ketua pembangkang utama Israel, Yair Lapid, juga mengecam tindakan ICC dan menyifatkannya sebagai “hadiah untuk keganasan”.

Tiada komen daripada Netanyahu atau Gallant.

Pemimpin Israel menolak dakwaan bahawa mereka melakukan jenayah perang.

ICC tidak mempunyai pasukan penguatkuasaan untuk melaksanakan tangkapan dan sebaliknya bergantung kepada negara anggota untuk itu. Negara anggota ICC termasuk semua negara Kesatuan Eropah, Britain, Jepun, Brazil, Australia dan Kanada, dan di rantau Timur Tengah, wilayah Palestin dan Jordan.

Bagaimanapun, ICC berkata penerimaan Israel terhadap bidang kuasa mahkamah itu tidak diperlukan. – REUTERS