Hasil pertanian Terengganu dieksport melalui negeri lain

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ketika PAS mengambil alih Kerajaan Negeri Terengganu pada 2018, sumbangan sektor pertanian kepada KDNK negeri ialah -2.5 peratus.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, sektor pertanian bukan setakat tidak mampu menyumbang malah menjadi beban kepada negeri.

“Alhamdulillah, bagi tahun 2023 sumbangan sektor pertanian kepada KDNK negeri meningkat 7.5 peratus.

“Tak banyak tapi kami telah mengubah kegagalan kepada sedikit kejayaan. Meneruskan kejayaan itu biasa, mengubah kegagalan menjadi kejayaan itu luar biasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Lantaran itu, kata beliau sasaran angka 10.6 peratus sumbangan sektor pertanian kepada KDNK negeri dalam PSPT 2024-2030 adalah realistik dan berpijak di bumi nyata.

Bagaimanapun, katanya keterbatasan negeri untuk meletakkan sasaran yang lebih tinggi kerana tidak mempunyai exit point.

“Antara keterbatasan kita untuk meletakkan sasaran yang lebih tinggi ialah kerana Terengganu tidak mempunyai ‘exit point’ untuk eksport produk pertanian ke pasaran antarabangsa menyebabkan jumlah eksport hasil pertanian Terengganu ialah sifar,” ujarnya.

Sebenarnya, jelas beliau hasil pertanian negeri seperti Melon Manis Terengganu, tembikai, nenas dan hasil akuakultur seperti kerapu hibrid dan siakap memasuki pasaran eksport.

“Cuma ia dieksport melalui pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa di negeri lain. Maka angka KDNK dapatlah kepada negeri tersebut,” katanya yang juga ADUN Jabi. – HARAKAHDAILY 21/11/2024