PADANG SERAI: Setiap manusia memerlukan tempat tinggal sempurna kerana kediaman yang baik dan selesa akan memastikan kelangsungan kehidupan sejahtera, harmoni dan bermotivasi.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata, penginapan pekerja yang berkualiti dan selesa juga, antara salah satu ketetapan telah dikenal pasti International Labour Organization (ILO).
Malaysia ujarnya, antara negara yang mendaftar sebagai anggota ILO sejak tahun 1957, malah penyediaan penginapan pekerja yang kondusif ini selaras dengan Sustainable Development Goals (SDGs) Eight (8): Decent Work and Economic Growth, di bawah perkara 8.8.
“Saya yakin bahawa Asrama Pekerja Berpusat (CLQ) adalah solusi jangka panjang untuk memastikan kawalan dan penginapan yang kondusif di samping mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang selamat, bersih dan sistematik.
“Kita sedia maklum bahawa menempatkan pekerja terutama yang bukan warga tempatan di dalam kawasan bercampur dengan penduduk awam, berlainan latar belakang dalam suasana tidak begitu terurus serta tidak terkawal akan menimbulkan pelbagai masalah sosial dan rungutan orang ramai,” katanya.
Justeru tambah beliau, kewujudan asrama sistematik seperti itu amat diperlukan, di samping dapat memastikan persekitaran kejiranan yang sejahtera dan sihat.
Sanusi berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian (CLQ) di Kediaman Pekerja Waja Indah, Kulim, di sini hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, langkah itu adalah tepat untuk memastikan pertumbuhan dan produktiviti dari sektor industri akan terus meningkat hasil daripada pengurusan pekerja yang lebih teratur dan tersusun.
Kerajaan Negeri katanya, akan terus mengorak langkah secara proaktif untuk memberi tumpuan dan sokongan kepada pihak swasta bagi membangunkan sektor perindustrian.
Khususnya tambah beliau, industri berteknologi tinggi, demi meningkatkan ekonomi negeri ke tahap lebih tinggi dengan sasaran utama, menyediakan peluang pekerjaan seluas-luasnya kepada warga negeri ini.
“Kita sememangnya sangat serius dalam usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan dari dalam dan luar negara, kerana dengan itu dapat meningkatkan permintaan dalam ekosistem pelaburan di negeri ini.
“Namun, syarikat atau pemaju yang masih menggunakan asrama pekerja di taman-taman perumahan atau rumah kedai di bawah kelulusan Temporary Labour Quarters (TLQ) diminta segera memindahkan pekerja masing-masing ke CLQ.
“Jangan jadikan TLQ sebagai penempatan kekal atau berterusan tanpa ada sebarang langkah dan keinginan untuk memindahkan mereka ke CLQ,” tegas ADUN Jeneri itu.
Katanya, pekerja adalah aset terpenting dalam sesuatu perusahaan, umpama bidalan kata ‘apa yang disemai, itulah yang dituai’.
Oleh itu beliau yakin pekerja yang dilayan dengan baik dan berpuas hati dengan sikap ambil berat majikan terhadap mereka, akan bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh dan mampu meningkatkan penghasilan syarikat.
Perhatian yang baik dari majikan ujarnya, mampu mengelakkan sebarang kecuaian mahupun ketidakpatuhan pada Akta 446.
“Saya merakamkan sekalung tahniah kepada Syarikat Beaver & Kujaya kerana membantu kerajaan negeri untuk mencapai sasaran penyediaan tempat kediaman yang mematuhi piawaian,” katanya lagi.
Justeru itu, berharap Syarikat Beaver dan Kujaya akan menjayakan lebih banyak projek perindustrian yang berimpak tinggi di negeri Kedah pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 21/11/2024