Che Alias Hamid dilantik Senator wakili Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Che Alias Hamid, 58, bekas Ahli Parlimen Kemaman, kini diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab baharu sebagai Ahli Dewan Negara mewakili negeri Terengganu.

- Advertisement -

Beliau menyifatkan pelantikan itu bukan sahaja satu penghormatan buat dirinya, tetapi juga peluang untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat dan pembangunan negeri di peringkat nasional. 

Beliau yang dilantik menggantikan Datuk Husain Awang yang tamat tempoh selepas dua penggal sejak 2018 mengakui menerima dengan perasaan bercampur baur antara gembira dan rasa tanggungjawab yang besar.

“Ya, ini amanah yang diberikan oleh Menteri Besar. Kita terima dengan rasa tanggungjawab. Insya-Allah, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk membawa isu-isu penting negeri ke peringkat Dewan Negara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Che Alias berkata, fokus utamanya ialah memperjuangkan perkara yang menjadi harapan kerajaan negeri dan rakyat Terengganu, termasuk isu royalti.

“Terengganu adalah sebahagian daripada Malaysia. Kita mahu pembangunan yang adil, tanpa mengabaikan negeri ini. Banyak isu penting, seperti yang disebut oleh Menteri Besar di Dewan Rakyat, perlu kita perjuangkan di peringkat Parlimen,” tambahnya. 

Beliau bertekad untuk memastikan perancangan kerajaan negeri berjalan lancar dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, di mana baginya, kerjasama erat antara kedua-dua pihak amat penting untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat. 

“Kerajaan Persekutuan sepatutnya tidak mengabaikan kepentingan dan pembangunan yang perlu dititikberatkan bersama sebagai Terengganu juga sebahagian daripada Malaysia.

“Rakyat mahukan kesejahteraan, sama ada dari segi kos sara hidup, ekonomi, mahupun penempatan. Kerajaan negeri tidak boleh melaksanakannya sendirian. Kita perlukan sokongan Kerajaan Persekutuan,” ujarnya. 

Che Alias berkata, dengan pengalamannya sebagai bekas Ahli Parlimen Kemaman, beliau yakin mampu memperjuangkan kepentingan negeri Terengganu.

“Saya akan pastikan semua usaha kerajaan negeri mendapat perhatian sewajarnya. Insya-Allah, kita akan perjuangkan kepentingan rakyat dengan sebaik mungkin,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2024

- Advertisement -