Buka fasiliti CKD di Kedah rangsang inovasi teknologi

- Advertisement -

PADANG SERAI: Kerajaan Negeri merakamkan ucapan setinggi-tinggi  tahniah kepada pihak pengurusan dan pasukan CKD Malaysia atas pembukaan fasiliti pembuatan terbaru mereka di negeri ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kejayaan itu merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan.

“Pembukaan kilang ini bukan sahaja satu langkah penting dalam pertumbuhan industri di negeri ini, tetapi juga pencapaian visi jangka panjang untuk memajukan sektor pembuatan negara.

“Fasiliti ini bukan sahaja membawa kepada penghasilan produk berkualiti tinggi untuk pasaran domestik dan antarabangsa, tetapi ia juga akan membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi dan meningkatkan ekonomi tempatan,” katanya.

Ujar Sanusi lagi, sektor pembuatan adalah antara teras utama ekonomi Malaysia, yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK negara, mencipta peluang pekerjaan, dan merangsang inovasi teknologi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, dan Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Dr Haim Hilman Abdullah.

Justeru, pembukaan fasiliti CKD Malaysia itu ujarnya, adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk menarik lebih banyak pelaburan sektor swasta dalam industri berteknologi tinggi dan mempromosikan amalan lestari dalam pembuatan.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pembukaan Kilang Pembuatan ‘Kompenan Pengawal Gas dan Sistem Penyampaian Gas Terintegrasi’, CKD Malaysia Sdn Bhd, bertempat di Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi Kulim (KHTP), hari ini.

“Saya mewakili Kerajaan Negeri mengucapkan tahniah kepada para pekerja CKD Malaysia, yang merupakan kekuatan utama dalam menjayakan visi syarikat.

“Dedikasi dan semangat anda akan terus menjadi pemacu utama dalam memastikan fasiliti ini mencapai kejayaan dan memberikan manfaat yang lebih besar kepada masyarakat setempat,” tambah beliau lagi.

Berikutan itu Kerajaan Negeri katanya akan terus menyokong inisiatif yang menggalakkan pertumbuhan industri dan peluang pekerjaan dalam negeri ini serta berharap CKD Malaysia akan terus berkembang dan menjadi pemain utama dalam sektor pembuatan negara. – HARAKAHDAILY 21/11/2024