Beras Sejahtera komitmen pastikan tiada rakyat lapar

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Program sumbangan Beras Sejahtera  membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan sasaran apatah lagi ketika kos sara hidup yang agak meruncing kini.

- Advertisement -

ADUN Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari berkata, bantuan itu secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban para penerima.

“Ini kali ke 14, sumbangan Beras Sejahtera dilaksanakan sejak saya menjadi ADUN selepas PRN ke 15, setahun tiga bulan yang lalu. Program Beras Sejahtera bersama barangan keperluan harian ini dilaksanakan setiap bulan.

“(Iaitu) dengan menyasarkan golongan kurang berkemampuan terutama di kampung-kampung,” ujarnya pada majlis penyampaian Beras Sejahtera di Kangkong, di sini hari ini.

Sementara kata Mardhiyyah, rata-rata rakyat Malaysia dan tidak ketinggalan rakyat Kedah juga, merungut berkenaan harga beras yang mahal sekarang ini

Lebih mengecewakan tegasnya, beras tempatan dicampur bersama beras import kemudian dipasarkan kepada orang ramai dengan harga yang mahal.

“Ada yang bawa masalah itu kepada wakil rakyat dan ADUN-ADUN di Kedah ni. Yalah, Kedah Negeri Jelapang Padi, petani susah payah tanam padi tapi beras mahal.

“Ni, saya nak _habaq_ (beritahu), isu tu semua tidak boleh diselesaikan di peringkat negeri walaupun ada orang yang marahkan Kerajaan Negeri Kedah.

“Semua itu adalah di bawah bidang Kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri hanya boleh bertindak atas perkara bidang kuasanya sahaja.

“Itu sebab Kerajaan Negeri usaha bantu rakyat, bagi beras percuma, pek makanan setiap bulan, selagi mana mampu tolong rakyat, kita akan tolong,” tegasnya lagi.

Itulah katanya, antara salah satu komitmen Kerajaan Negeri untuk pastikan tiada rakyat di bumi Jelapang Padi ini lapar dan tiada makanan untuk dimakan.

Pada majlis yang diadakan di Maahad Tahfiz As-Solehah, Kuala Kangkong, seramai 140 penerima melibatkan tujuh buah kampung iaitu, Kangkong, Permatang Kangkong dan Alor Pulai.

Juga melibatkan Sungai Nonang Seberang Alor, Teluk Bulang dan Kampung Perlis.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pilihan Raya DUN (JPRD) Pengkalan Kundur, Dr Ridhwan Othman. – HARAKAHDAILY 21/11/2024