KOTA BHARU: Belanjawan Kelantan 2025 yang berjumlah RM1.45 bilion dianggap sebagai manifestasi kerajaan negeri memastikan pembangunan berjalan seiring dengan prinsip Islam.
Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob berkata, belanjawan tersebut memberi tumpuan kepada kemakmuran negeri, kesejahteraan rakyat dan pembangunan mampan.
Katanya, melalui perancangan yang terperinci dan penuh hikmah, kerajaan negeri menggariskan pelbagai inisiatif bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Kelantan.
“Selain itu usaha untuk mewujudkan peluang-peluang baharu bagi generasi akan datang seiring Penghayatan Membangun Bersama Islam,” katanya di sini.
Pada persidangan DUN Kelantan pagi tadi Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud membentang Belanjawan 2025 bertema ‘Keberkatan, Kesejahteraan Dan Keseimbangan Untuk Kemakmuran Negeri’.
Menurut Menteri Besar Belanjawan 2025 sebagai perancangan berbelanja secara berhemat dan sebagai usaha serta langkah kerajaan ke arah bajet seimbang, selaras dengan kedudukan aliran tunai kerajaan.
Manakala anggaran hasil pada tahun 2025 dijangka sebanyak RM997.26 juta meliputi hasil cukai RM230.51 juta, hasil bukan cukai RM354.93 juta dan terimaan bukan hasil RM411.82 juta.
Ustaz Ahmad yang juga ADUN Pasir Pekan berharap pelaksanaan Belanjawan 2025 membolehkan Kelantan terus maju, sejahtera dan diberkati oleh Allah SWT.
“Alhamdulillah, saya merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/11/2024