Belanjawan Kelantan 2025 ambil kira prinsip Islam

Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. (Foto RIZAL TAHIR)
- Advertisement -

KOTA BHARU: Belanjawan Kelantan tahun 2025 dirangka dengan mengambil kira prinsip-prinsip Islam bertujuan untuk memastikan kesejahteraan rakyat, kemakmuran ekonomi serta kelestarian sosial.

- Advertisement -

Selain itu membangunkan sebuah masyarakat yang adil, sejahtera dan harmoni dapat dicapai dengan strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam.

Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, Kelantan mencatatkan peningkatan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada RM27.6 bilion pada tahun 2023, meningkat 2.6 peratus daripada RM26.9 bilion tahun sebelumnya.

Katanya, peningkatan itu didorong pertumbuhan sektor perkhidmatan sebanyak 3.8 peratus, yang dipacu subsektor perdagangan borong, runcit, penginapan, makanan dan minuman serta perkhidmatan kerajaan.

“Bagaimanapun sektor pertanian pula menguncup 0.5 peratus disebabkan kemerosotan dalam subsektor perhutanan dan pembalakan.

“Sektor pembuatan juga menyusut 2.6 peratus disebabkan kemerosotan produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan,” katanya ketika membentang Belanjawan Kelantan 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Belanjawan tersebut bertema ‘Keberkatan, Kesejahteraan dan Keseimbangan Untuk Kemakmuran Negeri’.

Mohd Nassuruddin juga berkata, sektor pembinaan berkembang 6.7 peratus sebahagian besarnya disokong aktiviti pembinaan pertukangan khas.

Menurutnya juga Kelantan mempunyai potensi ekonomi yang besar terutamanya dalam sektor pertanian, perikanan dan pelancongan.

Kata beliau juga walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, sebaliknya pembangunan infrastruktur, peningkatan pendidikan serta penggalakan sektor perniagaan dan teknologi memberi harapan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan pada masa hadapan.

Katanya juga pelbagai faktor yang kompleks menjadikan prospek pertumbuhan ekonomi global untuk tahun 2024 amat mencabar.

“Kawalan ketat dasar monetari dan kewangan yang ketara, ketidaktentuan dasar yang berterusan di seluruh dunia, perubahan iklim serta ketidakstabilan harga komoditi merupakan antara cabaran dihadapi.

“Bgaimanapun, ekonomi dunia diramal kekal berdaya tahan apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Julai lepas mengunjurkan KDNK dunia tumbuh pada kadar 3.2 peratus pada tahun 2024 berbanding 3.3 peratus tahun sebelumnya,” kata beliau.

Menurutnya eEkonomi dunia mencatat pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus dalam tempoh 2021-2023 dan dijangka berkembang perlahan sebanyak 3.2 peratus dalam tempoh 2024-2025.

Manakala ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus dalam tempoh 2021-2023 dan dijangka berkembang dalam lingkungan 4.5 peratus hingga 5.5 peratus dalam tempoh 2024-2025. – HARAKAHDAILY 21/11/2024