Tidak perlu lantik Ahli Majlis di Kuala Lumpur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan melantik Ahli Majlis di Kuala Lumpur (KL) di mana ia bagi mengelak terlalu banyak campur tangan politik yang tentunya tidak baik bagi sesebuah ibu negara.

- Advertisement -

Mantan Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Iskandar Abd Samad berkata demikian ketika diminta mengulas isu gesaan melantik Ahli Majlis Kuala Lumpur yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Menurut Iskandar, beliau tidak bersetuju pelantikan Ahli Majlis yang hanya spesifik di Kuala Lumpur kerana dibimbangi ia dilantik berdasarkan kepada bilangan kerusi dan menyebabkan ketidakseimbangan kaum.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain ada ahli majlis, jadi dia nak cadangkan macam dekat tempat-tempat lain juga. Kita tak setuju sebab takut nanti kalau berdasarkan kepada bilangan kerusi dan berlaku ketidakseimbangan dari segi kaum di KL.

“KL ini terlalu penting, kita bimbang ia dipolitikkan,” katanya yang juga Bendahari PAS Pusat ketika ditemui HarakahDaily pada Selasa.

Iskandar juga menambah, Kuala Lumpur melambangkan Malaysia memandangkan kedudukannya sebagai sebuah Ibu Negara, justeru perlu membawa imej nasional.

Sebaliknya kata beliau, dengan pelantikan Ahli-Ahli Majlis berdasarkan parti-parti politik yang menang di Kuala Lumpur, ia tidak akan membawa imej tersebut.

“Ia dibimbangi tidak akan membawa imej inklusif yang perlu ditonjolkan sebagai sebuah ibu negara,” ujar beliau yang berpengalaman dalam bidang perumahan dan pembangunan bandar.

Baru-baru ini, Lim Lip Eng menggesa kerajaan melantik segara Ahli Majlis KL memandangkan hampir semua negeri mempunyai sistem berkenaan. – HARAKAHDAILY 20/11/2024