KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengambil keputusan untuk tidak membenarkan pembaharuan lesen penjualan vape sebagai langkah melindungi kepentingan umum, terutama golongan muda.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan fatwa yang mengharamkan penggunaan vape yang telah diterima pakai oleh negeri-negeri sebelum ini.
“Kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dan mengambil keputusan bahawa mana-mana premis yang lesen jualan vape mereka perlu diperbaharui, tidak akan disambung.
“Di bawah kuasa PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), kita berkuasa untuk tidak membenarkan premis digunakan untuk tempat penjualan (vape) sebab kita hendak jaga kemaslahatan (kepentingan) umum yang lebih besar, kita hendak jaga anak-anak muda dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap vape melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan bermula 1 Okt lepas.
Dr Dzulkefly berkata, Kerajaan Persekutuan kekal dengan pendirian untuk tidak mengharamkan penjualan vape di peringkat nasional namun menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar masing-masing, termasuk melarang penjualan vape melalui PBT. – HARAKAHDAILY 20/11/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!