KUALA TERENGGANU: Seramai 3,476 anak Terengganu diberi peluang pekerjaan dalam menjayakan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti, dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Hanafiah Mat berkata, jumlah keseluruhan pekerja tempatan yang terlibat dalam pembinaan projek ECRL adalah seramai 5,034 orang.
Katanya, setakat September 2024, projek ECRL melibatkan seramai 21,716 orang pekerja, termasuk tenaga kerja tempatan dan asing.
“Keperluan pekerja tempatan semasa bergantung kepada baki-baki kerja infrastruktur yang mash ada. Bilangan pekerja akan semakin berkurang sehingga projek ini disiapkan mengikut kepakaran atau kerja-kerja yang mash berbaki.
“Bagi pekerja-pekerja yang mempunyai kepakaran tertentu, mereka akan diserapkan semasa pengoperasian selepas projek ini selesai dan bilangan akan ditentukan mengikut kekosongan jawatan ada dan ditawarkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Riduan Mohamad Nor (PAS-Jertih) pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Menjawab soalan tambahan mengenai kes-kes sosial melibatkan pekerja ECRL yang menimbulkan masalah ketidaktertiban dalam masyarakat tempatan, beliau berkata, perkara itu telah dikenal pasti dan disenaraikan di dalam Laporan Penilaian Impak Sosial diluluskan PLANMalaysia.
Katanya lagi, untuk menangani isu berkenaan, beberapa langkah telah diambil oleh pemilik projek, Malaysia Rail Link (MRL) dan kontraktor utama, China Communications Construction Company (CCCC).
“Antaranya, mereka telah menubuhkan Central Labour Quarters (CLQ), sebuah penempatan berpusat untuk pekerja asing, terutamanya pekerja dari China. Semua pekerja asing diwajibkan tinggal di CLQ ini.
“Selain itu, sistem keselamatan yang ketat telah diperkenalkan, termasuk pemeriksaan kesihatan berkala untuk memastikan pekerja berada dalam keadaan sihat dan tidak membawa penyakit berjangkit,” katanya.
“Pemantauan bersama pihak berkuasa tempatan, seperti polis, CIDB dan agensi penguatkuasa lain turut dijalankan untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjaga,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2024